Bab 10
Kata Mila biasanya
jam 3 petang Ana akan habis kerja. Tapi ada juga pekerja yang menyambung lagi
sejam dua sekiranya masih ada kerja yang belum siap.
Jam 2:30 petang
Imran sudah menunggu di dalam kereta. Di sebalik pokok-pokok pisang di tepi
jalan masuk menuju ke bengkel yang terletak di tanah lapang. Sengaja dia datang
awal, dia tidak mahu terlepas pandang kelibat Ana.
Suasana riuh dari
bengkel itu tidak memungkinkan Imran untuk turun dan menjengah. Nak pergi
membeli bahulu dan rempeyek seperti yang dikatakan kepada Mak Wan tadi tipis
nampaknya. Dari ruang terbuka yang berdinding separuh konkrit dan separuh jeriji
itu dia nampak ada beberapa orang wanita sedang menggoreng sesuatu dalam kuali
besar di depan mereka. Ada tiga empat kuali jugalah kalau tak salah pandangan
Imran.
Tiba-tiba dia rasa
kasihan kepada Ana. Tidak kejamkah takdir yang terlakar buat gadis itu
sekiranya dia terpaksa melupakan cita-citanya dan bekerja di sini sepanjang
hayatnya nanti?
Bagaimana pula kalau
benar Ana akan menamatkan zaman gadisnya dengan Mizi? Setahu Imran Mizi itu
berpangkat pegawai tentera. Menjadi isteri pegawai tentera Ana harus pandai
menyesuaikan diri dengan segala macam acara dan majlis yang harus dia ambil
bahagian. Boleh ke gadis polos dan naif itu memainkan peranan dia nanti?
‘Haih! Buat semak kepala
otak aku je fikir benda bukan-bukan
ni!’ Imran garu-garu kepala dengan kedua-dua tangan. Lebih baik dia
mengosongkan fikiran dan memerhatikan sahaja pintu masuk bengkel tersebut.
Manalah tahu kalau-kalau Ana keluar nanti. Bolehlah dia terus menegur gadis
tersebut.
“Ana pergi susun
bekas-bekas telur ni kat luar ya Kak Lijah!” Ana angkat sebeban bekas-bekas
telur kosong yang disusun bertindan-tindan. Leganya sebab mereka sudah siap
membungkus bahulu untuk hari ini. Ada seplastik bahulu untuk para pekerja
membawa pulang. Memang Kak Midah ni majikan yang baik, tak kedekut langsung.
Ana bukan sahaja
dapat bungkusan kecil bahulu, malah rempeyek dan juga kerepek pisang juga.
Sewaktu dia keluar
membawa bekas-bekas telur itulah dia nampak kereta milik Imran tersadai di tepi
jalan. ‘Apa dia buat di sini? Kereta dia rosak ke?’ Ana tertanya dalam hati.
Ah, lantak dialah...
mana tahu dia tengah tunggu seseorang. Takkan Ana nak tegur dia pulak, kan? Ana masuk kembali ke bengkel
untuk bantu mengemas apa yang patut. Dia dah boleh balik. Cuma tinggal mak
cik-mak cik dan kakak-kakak yang bertugas di bahagian goreng menggoreng tu yang
masih ada kerja.
Selepas bertukar
sebutan salam Ana capai beg plastik yang dihulurkan oleh Kak Midah ke
tangannya. Dengan ucapan terima kasih Ana melambai pergi.
Dia rasa hairan
kerana kereta Imran masih ada di situ. Dari setengah jam yang dia nampak tadi
kereta itu tidak bergerak.
Dengan rasa ingin
tahu Ana bergerak menghampiri. Dijenguknya ke dalam, di bahagian pemandu.
Dahlah kereta itu bercermin agak gelap, jenuh dia mengintai. Imran sedang
terlentok tidur di kerusi pemandu.
Ana berfikir-fikir
seketika sama ada dia patut mengejutkan Imran ataupun tidak. Takkan dia
mengantuk sangat sampai tertidur di sini? Rumah Mak Wan taklah jauh mana kalau
berkereta. Kalau berjalan kaki, jauhlah juga.
Sedang dia
menimbang-nimbang hendak mengetuk cermin kereta itu ataupun tidak orang di
dalam sudah mencelikkan mata. Terus senyuman diukir untuk si gadis yang memang
ditunggu. Cermin kereta diturunkan dan mereka berpandangan.
“Encik... buat apa
kat sini?” Ana terus tanya tanpa sempat Imran membuka mulut.
“Abang tunggu
Ana...!” dengan penuh keyakinan Imran menjawab.
“Tung... tunggu Ana?
Ke... kenapa?” ha, kan dah tergagap-gagap kawan tu dibuatnya. Renungan dan
panahan mata Imran benar-benar membuatkan lidah Ana jadi kelu.
“Ana dah habis kerja
ke?” mata Imran tak lepas-lepas memandang si gadis.
“Dah, Ana nak
balik...”
“Ana, nanti dulu!”
Imran buka pintu kereta dan terjun keluar. Lengan kiri Ana ditarik.
“Ana... ikut abang
sekejap! Abang ada hal nak cakap dengan Ana!” Imran lepaskan tangan apabila Ana
merenung tajam ke arah tangan kekar yang mencekak lengan kurus miliknya.
“Nak pergi mana?”
Ana ingin menolak, sesungguhnya dia rasa sangat penat. Mahu pulang ke rumah dan
berehat sebentar sebelum membuat kerja-kerja rumah pula. Sejak Mila
menggantikan dia di rumah Mak Wan makin bertambah-tambah kerjanya di rumah tu.
Mila langsung tak nak bantu satu apa pun, kalau dulu boleh juga dia bantu
menghidang makan malam. Sekarang ni... hai, susah nak cakap. Macam dia seorang
sahaja tahu penat.
“Masuklah dulu...”
Imran siap bukakan pintu kereta. Ana renung jam di tangan. Dah menghampiri jam
3:15 petang.
“Abang janji sekejap
je. Nanti abang hantar balik ke sini
dan Ana boleh ambil balik basikal Ana tu...” Imran perasan mata Ana yang
sesekali memandang ke arah basikal warna merah hati miliknya itu.
Ana akur dan
memanjat naik kereta Toyota Fortuner itu. Sempat dia melihat sekeliling.
Harap-harap tak ada siapa yang nampak dia naik kereta Imran.
Pantai Pelindung
menjadi destinasi. Sepanjang perjalanan tadi masing-masing hanya berdiam diri.
Sesampai sahaja di pantai Imran turun dahulu. Dia terus berjalan menonong
menuju ke gigi pantai. Ana mengikut dari belakang.
Cuaca panas terik,
angin dari laut menampar wajah. Angin yang kering dan panas hawanya.
“Ana sihat?”
tiba-tiba sahaja Imran berhenti dan berpaling memandang Ana. Mujurlah Ana
mengekori dalam jarak beberapa langkah di belakang. Kalau tak aniaya je dia terlanggar badan Imran.
“Ana sihat, encik?
Bagaimana dengan tangan? Sudah okey ke?” Tangan kanan Imran masih berbalut
walaupun dia sudah tidak memakai anduh.
Hrm... nampak sangat
Mila menipu dia. Geramnya Imran rasa. Haruskah dia cekik-cekik sahaja Mila tu
kalau dia datang esok? Ana demam teruk konon!
Mungkin juga dia dah
tak berani nak datang. Sebabnya tadi Imran dera dia cukup-cukup. Imran bagi dia
buku Readers Digest dan suruh dia taip beberapa artikel ke dalam laptop.
Terkial-kial juga nampaknya Mila menaip artikel dalam Bahasa Inggeris tersebut.
Imran juga takut-takutkan Mila, esok dia mahu Mila taip lebih banyak dokumen
dalam Bahasa Inggeris. Lepas habis taip dia minta Mila membacanya dan dia
memeriksa dengan buku itu. Dia boleh nampak riak tak senang di muka Mila tadi.
Dahlah sebutan Bahasa Inggeris dia hancus.
Langsung tak sama dengan Ana.
“Kenapa Ana ambil
keputusan bekerja di bengkel Kak Midah? Dia tawarkan gaji lumayan ya?” kali ini
mereka berjalan beriringan. Perlahan-lahan kaki melangkah menyusuri pantai.
Ana tersenyum dengar
perkataan ‘lumayan’ yang dituturkan oleh Imran. Lumayan mana sangatlah kalau
setakat menjadi pembantu di bengkel Kak Midah tu. Kalau nak kerja kat situ tak
perlu sijil pun. Janji rajin dan cekap melakukan tugas yang diamanahkan.
Kak Midah minta Ana
datang bantu sebab dia kekurangan kaki tangan sehari dua ini. Masa Ana ke kedai
runcit pagi semalam dia terserempak dengan Kak Midah. Tu yang Kak Midah tahu
Ana sudah tidak ke rumah Mak Wan lagi.
“Ana dah tak nak
bantu Mak Wan lagi? Tak kesian kat Mak Wan? Mila tu... erm, susah abang nak
cakap. Tapi abang rasa dia memang tak pernah buat kerja rumah. Serba-serbi yang
dia buat canggung dan hasilnya mengecewakan. Dia tak cekap macam Ana. Mak Wan
dan Mak Awa susah semenjak Ana tak ada... Ana tak rasa nak tolong Mak Wan dan
Mak Awa semula?” Imran kerling sekilas gadis di sebelahnya ini.
Ana menjinjing
sandal di tangan kiri. Kain baju kurungnya yang labuh dibiarkan sahaja disapu
ombak yang sesekali menampar ke pantai. Imran menarik Ana ke kanan sedikit,
menjauhi pukulan ombak.
“Berilah peluang
kepada Mila... dia yang nak bantu Mak Wan dan Mak Awa,” perlahan Ana berkata.
Semenjak Mila nampak Imran menghantarnya dengan kereta besar itu Mila terus
ubah fikiran. Dia mahu bekerja dan menggantikan tempat Ana.
Ana tahu apa yang
Mila cuba lakukan. Dia mahu cuba memikat hati Imran. Dia berpakat dengan
emaknya untuk menjalankan misinya dan bekerja dengan Mak Wan.
Ana juga tahu Mak
Wan ada menelefon ayah, minta Ana datang semula membantu di rumahnya. Kerana
itulah emak tirinya menjadi semakin marah kepada dia. Puan Kartina menyangka
Ana yang mengadu perihal Mila yang menggantikan tempatnya. Sempat jugalah dia
dimaki hamun ketika pulang tengah hari tadi.
“Tapi Mak Wan tak
selesa dengan Mila. Apa kata mulai esok Ana kerja balik dengan Mak Wan. Nanti
abang minta Mak Wan naikkan gaji Ana, siap bagi bonus lagi!” itu ayat yang
Imran lontarkan buat Ana, tapi ayat dalam hatinya ‘Abang sanggup bayar gaji dan
bonus untuk Ana, asalkan Ana sanggup datang ke rumah Mak Wan macam biasa,
bermula esok!’
Ana hanya tersenyum
dengar cadangan Imran. Bukan ada makna pun banyak ataupun sikit gajinya.
Semuanya nanti akan diambil oleh emak tirinya itu. Kalau dia nak beli apa-apa,
dia kena minta belas ihsan daripada ayah pula.
“Datang esok ya
Ana... abang teringin nak makan ikan cencaru sumbat sambal kelapa... pekena
dengan kuah masak lemak labu ataupun kobis masak lemak campur udang, ada pulak
ulam-ulaman dan sambal belacan, perghhhh...” nak meleleh air liur dia
mengenangkan makanan yang disebutkannya tadi.