Monday, March 23, 2015

Satu Kali Lagi - Bab 11






Bab 11

Daripada gaya Mila bercerita; nampaknya Ana sangat pandai memasak. Imran teringin sangat nak rasa masakan Ana. Kalau Ana datang esok menu yang ada dalam kepalanya inilah yang akan dia minta Ana masak. Mak Awa boleh bercuti masak esok. Imran amat berharap Ana akan datang esok.

“Bukankah Mak Awa lebih pandai memasak? Kalau Ana datang pun, Ana bantu kerja-kerja lain. Ana tak masak...” Imran ni lupa ke yang Ana hanyalah menjadi pembantu kepada Mak Awa?

“Tapi untuk esok abang betul-betul nak Ana yang masak. Lagipun, tak lama lagi abang akan balik ke Damansara semula. Entah bila lagi kita akan berjumpa dan berbual-bual macam ni. Ana pun mungkin tak lama lagi akan berpindah...” Imran betul-betul berharap Ana akan termakan pujukannya.

 “Ana nak  berpindah?” eh, macam mana pulak Imran boleh kata dia nak berpindah? Dia sendiri pun tak tahu menahu ni? Siapa yang nak pindahkan dia? Dan ke mana? 

Imran ketawa kecil lihat muka terperanjat Ana. Comel. Ana sangat comel. Apabila Ana tersenyum, wajahnya jadi berseri dan bercahaya. Senyumannya kelihatan jujur dan ikhlas. Barisan giginya yang putih bak mutiara menyerlahkan lagi kemanisan senyumannya. Kadangkala Imran jadi asyik apabila memerhatikan Ana tersenyum ataupun tertawa.

“Err...bukan Ana akan kahwin dengan Mizi ke nanti? Dia kan bertugas di Labuan? Kalau dah kahwin bukankah Ana kena pindah ikut Mizi?” Merah padam muka Ana apabila Imran bangkitkan hal mengenai Mizi.

Sungguhlah Ana tak sangka yang Imran tahu hasrat Mak Bedah mahu merisik dia untuk Mizi. Malunya. 

“Ana tak rasa Ana akan ikut Abang Mizi...” ‘Abang Mizi?’ Imran telan air liur. Berapa mesra Ana dengan Mizi agaknya ya? Adakah mereka sememangnya bercinta selama ini, cuma Mak Wan yang tidak tahu dan memberikan Imran maklumat yang salah? Imran telan air liur sekali lagi. Tiba-tiba dia rasa kering tekak.

“Kenapa tak nak ikut Abang Mizi? Bukankah tempat seorang isteri adalah disisi suaminya?” lembut Imran menyusun ayat. Terasa jugalah yang dia bersikap hipokrit sebenarnya.

Belum sempat Ana menjawab pertanyaan Imran handphonenya berbunyi. Ana bergerak menjauh sebaik dia menjawab salam si pemanggil. Imran berdiri memerhatikan Ana yang berpaling ke belakang dan berjalan perlahan. Sandal masih setia dipegang di tangan kirinya.

Sekejap cuma dia berbicara, Ana kembali berjalan dan mendapatkan Imran yang berpeluk tubuh memerhati sedari tadi. Teriknya cahaya mentari ketika ini bisa membuatkan kulit rasa terbakar. Mujur Imran sempat menyambar Ray Ban tadi. Dapat juga dia melindungi matanya daripada panahan cahaya matahari.

“Encik Imran baliklah dulu, saya nak jumpa seseorang kat sini...” bulat mata Imran dengar Ana buat ayat menghalau dia balik.

“Ana nak jumpa siapa? Habis tu balik nanti macam mana?” 

“Saya balik dengan dia nanti...” Ana pandang arah lain apabila dia sedar Imran sedang panahkan anak matanya tepat ke anak mata dia. Imran rasa tersentap. Siapa ‘dia’ yang Ana maksudkan? Siapa yang berani mengganggu dia sedang ‘berdating’ dengan Ana ni? Tak patut betullah!

“Ana pergi dulu ya Encik Imran...” Ana minta diri apabila Imran tidak berkata apa-apa.

“Okeylah, tapi ada barang Ana dalam kereta tu, jomlah kita ambil dulu!” nak tak nak terpaksalah Imran mengalah. Imran bergerak menuju ke keretanya yang diparkir di tepi jalan, berhampiran sebuah pokok. Ana menyusul dari belakang.

Beg plastik bertangkai yang berisi kuih bahulu, kerepek pisang dan rempeyek pemberian Kak Midah tadi Imran hulurkan ke tangan Ana. Tetapi tidak bersambut.

“Encik Imran ambillah jelah. Kak Midah bagi tadi, rasalah. Kalau sedap bolehlah beli di bengkel Kak Midah nanti!” secara tak langsung Ana  buat promosi untuk produk keluaran bengkel Kak Midah.

Imran pandang bungkusan plastik di tangan silih berganti dengan memandang wajah Ana. Kalau ikut hati nak je dia melarang Ana berjumpa dengan ‘dia’ yang entah siapa-siapa tu.

“Ehem... assalamualaikum...!” Dua pasang mata berpaling ke arah gerangan yang memberi salam.

“Wa’alaikumsalam...! Encik Zarul... buat apa kat sini?” Imran pantas menghulurkan tangan, bersalaman dengan pengarah projek yang juga merupakan anak kepada majikannya. Ana hanya memerhatikan kedua-dua mereka dengan penuh tanda tanya, salam yang diberi tadi sempat dijawab dalam hati.

“Eh, tak payah berencik-encik sangatlah. Sini bukan opis... aku datang cari kau lah! Erm... siapa ni? Skandal baru ke?” Zarul angkat-angkat kening berselang seli pandang Ana dan Imran. Pecah ketawa Imran dengar perkataan skandal yang disebut oleh Zarul.

“Kenalkan... Ana Nabila dan ini pula Zarul Affandi, bos ni!” Imran memperkenalkan kedua-dua mereka. Ana hanya menganggukkan kepala, takkan dia nak hulur tangan pulak, kan?

“Ana minta diri dululah Encik Imran, Encik Zarul... assalamualaikum...” Ana berpaling dan melangkah pergi. Tak sempat pun dua langkah dia dengar suara Imran.

“Ana, pagi esok jangan lupa datang ke rumah Mak Wan ya? Abang tunggu...!” Ana tidak menjawab, dia terus melangkahkan kakinya meninggalkan Imran dan Zarul di situ.

‘Abang???’ Zarul menggumam dalam hati.

*******************

“Tidur di sini ajelah Zarul... bahaya memandu malam-malam ni. Mak Awa pun dah siapkan bilik kat atas tu untuk kamu!” Mak Wan mempelawa Zarul tidur di rumahnya buat kesekian kali.

Dari petang tadi Zarul ke mari, sudah makan malam dan sekarang ini sedang santai minum kopi di beranda tingkat atas dengan ditemani oleh Imran dan Mak Wan.

“Haahlah Zarul,  tidur di sini ajelah...!” Imran pula menyokong. 

“Err... tak menyusahkan ke?” Zarul serba-salah. Sebenarnya dia sudah menempah bilik hotel di Bandar Kuantan sebelum dia ke mari.

“Apa pulak menyusahkan, lagi senang nak berbincang fasal projek di Gebeng dan Tanjung Agas tu kalau kau tidur di sini!” Kalau di pejabat Imran akan panggil Zarul sebagai Encik Zarul. Kalau di luar mereka lebih selesa ber ‘aku’ dan ‘kau’. Maklum, sudah kenal lama. Walaupun Zarul tua empat tahun daripada Imran namun dia melarang Imran memanggilnya dengan panggilan abang. Aku dengan kau lebih selesa katanya.

If you say so...” Zarul angkat kedua-dua belah bahu. Dia pun terasa malas hendak memandu ke bandar malam-malam begini. Jam pun sudah menginjak lebih angka 10 malam. Lepas mandi tadi santai dia memakai t-shirt dan berkain pelikat yang dipinjamkan oleh Mak Wan. Sebabnya dalam beg pakaian dia hanya ada seluar pendek untuk dipakai waktu malam. 

Dia tak plan pun nak menumpang tidur di sini. Kalau dia tahu nak tidur di sini bukan setakat kain pelikat je dia akan bawa, jubah yang dibeli oleh papa di Mekah tu pun dia akan angkut sekali. Barulah sopan dan berwibawa dia kelihatan. 

“Kalau macam tu Mak Wan buatkan kopi lagi seteko, senanglah nak berjaga untuk berbincang fasal kerja!” Mak Wan bangun lalu menghilang di sebalik pintu.

“Patutlah kau suka ke mari, mak saudara kau tu baik sangat orangnya. Suasana kampung ni pun not bad... aku suka!” Zarul memuji. Dia tidak tahu alamat penuh rumah Mak Wan. Dia ingat Imran menyebut Kampung Pelindung. Puas dia menelefon Imran tetapi tidak berjawab. Iyalah, masa itu Imran sedang ‘berdating’ dengan Ana dan smartphonenya pula berada dalam dashboard kereta. Zarul pun ‘pandai’ sangat, bukannya nak telefon awal-awal. Konon nak bikin surprise la.

Mujur sangat Zarul tergerak hati mahu ke Pantai Pelindung dan tak lama mana selepas itu dia nampak kereta syarikat yang digunakan oleh Imran tersadai di tepi jalan. 

Yelah, kau pun tahu. Kalau di rumah sana aku sorang je, Iqbal pula balik sesekali aje, sunyi gila kau tahu!” itulah sebab yang membawa Imran ke mari. Sanggup dia menahan sakit di tangan dan memandu sendirian ke mari dengan penuh kepayahan.

Orang tuanya masih ada... tetapi ayah bertugas di Sri Aman. Menjalankan aktiviti pembalakan dan pembinaan di sana. Bekerja dengan salah satu syarikat Datuk Zamanhuri yang dikongsi bersama seorang usahawan tempatan; Datuk Joseph.

Jadi keluarga Imran dengan keluarga Zarul memang ada hubungan perniagaan dan juga hubungan kekeluargaan yang sememangnya rapat. Mereka kenal dari kecil lagi. Sudah kenal hati budi masing-masing. Sebab itu Imran sangat selesa bekerja dengan Zarul. Bahkan dalam sesetengah hal mereka sering berkongsi apa sahaja permasalahan, tidak kiralah tentang kerja ataupun bersifat peribadi.