Bab 1
Gembiranya Ana
apabila menatap slip keputusan peperiksaan SPMnya tadi. Seakan tidak sabar dia
mahu menunjukkan slip itu kepada ayah. Pasti ayah bangga dengan dia.
Sebagaimana cikgu-cikgu dan rakan-rakannya yang turut berbangga dan mengucapkan
tahniah buatnya tadi.
Dia menyorong
basikal dan menyandarkannya ke tiang rumah. Berlari dia menuju ke pintu dapur.
Namun langkahnya terhenti apabila dia dengar suara orang marah-marah. Ayah
dengan mak cik bergaduh lagilah tu.
Tidak jadi
dia melangkah masuk ke dalam rumah. Ana terus ke halaman. Di pelenggar yang
terdapat di hujung kanan halaman, di bawah sepohon pokok mangga Ana melabuhkan
duduk.
“Tengok slip
kau!” satu tangan gebu merampas slip keputusan SPMnya. Tak sempat dia nak
berbuat apa-apa.
“Dengan
keputusan yang macam ni, apa kau nak buat lepas ni?” Mila, anak emak tirinya
bertanya.
Ana pandang
muka Mila. Cara Mila bercakap tu macamlah keputusan SPM Ana ni teruk sangat.
Padahalnya Ana dapat 8A dan 1B. Dia antara pelajar cemerlang di sekolahnya
selama ini.
“Keputusan
SPM kau macam mana?” walaupun Ana dan Mila tidak sebulu dalam banyak perkara
namun kadang kala boleh aje mereka berbual-bual. Usia pun sebaya.
“Aku?” Mila
tuding diri sendiri dengan jari telunjuk kiri. Di tangan kanan dia ada sebiji
Epal Fuji yang sudah diunggis.
“Macam yang
aku ramalkanlah... tak ada A langsung!” bukan main bangga Mila bercakap.
Seolah-olahnya kalau dapat A tu adalah satu kegagalan.
“Tapi kan...
rugi je kau belajar teruk-teruk.
Dapat keputusan bagus pun kau takkan ke mana-mana...” Mila masih dengan muka eksen dia. Mulut pun tak berhenti
mengunyah.
“Apa maksud
kau?” Ana pandang muka Mila. Bersungguh Mila makan buah epal tu. Nampak macam
sedap sangat gayanya. Buat Ana telan air liur.
“Mak dengan
ayah tengah berperang kat dapur tu. Fasal kau!”
“Fasal aku?”
Ana tuding diri sendiri.
“Yelah, ayah nak kau sambung belajar.
Tapi mak aku tak setuju! Mak nak hantar aku pergi kolej swasta. Aku nak sambung
belajar bidang kulinari!”
“Habis tu
kenapa pula aku tak boleh sambung belajar?” kalau betul apa yang Mila katakan
ni, sia-sialah keputusan cemerlang SPMnya itu. Tak ada maknalah susah-payah dia
belajar selama hari ini.
“Kau ni
belajar je pandai. Tapi sebenarnya
bodoh! Kalau dua-dua ayah dan emak hantar belajar, mana nak cekau duit? Cuba bercakap guna kepala
otak sikit!” selamba je Mila
bercakap. Sikit pun tak berlapik. Walhal yang dikatakan bodoh tu jauh lebih
pandai daripadanya. Dengan keputusan peperiksaan SPM dia yang tak cukup makan
tu, entah kolej manalah yang boleh terima dia sebagai pelajar agaknya.
“Ana! Dah
lama balik? Macam mana result?” Ana
berpaling ketika ayah bersuara dari beranda rumah batu itu.
“Baru je balik ayah!” Ana berjalan ke arah
ayahnya. Slip keputusan SPM bertukar tangan. Ayahnya meneliti slip itu seketika
dan kemudian dia memandang wajah satu-satunya anak kandung dia.
“Tahniah!
Ayah memang dah jangka Ana akan dapat keputusan cemerlang!” lepas beri ucapan
tahniah, ayahnya pulangkan slip itu ke tangan Ana semula dan ayah berpaling
pergi. Ana sedar, wajah ayah tidak kelihatan gembira. Adakah apa yang Mila
katakan tadi benar? Ana tarik nafas panjang dan perlahan dia melangkahkan kaki
ke dalam rumah.
“Saya tak
setuju kalau awak nak cagarkan tapak tanah rumah ni kepada pihak bank. Pinjaman
yang sedia ada pun dah tak terbayar, awak nak tambahkan lagi? Awak nak kita
anak-beranak merempat kat tepi jalan ke bang?” dari biliknya yang berdindingkan
papan plywood Ana dengar ayah dan
emak tirinya berbalah di dapur.
Memang dia
boleh mendengar dengan jelas kerana emak tirinya itu bercakap dengan suara yang
sengaja dikuatkan. Kedudukan bilik Ana yang terletak bersebelahan dengan dapur
memang membolehkan dia mendengar sebiji-sebiji apa yang sedang diperbincangkan
oleh orang tuanya.
“Awak juga
yang nak hantar Mila ke kolej swasta, awak ingat saya ada duit ke kalau tak
buat pinjaman? Ana tu nak juga saya hantar belajar ke menara gading! Itu
satu-satunya anak saya, darah daging saya. Saya nak pastikan masa depan dia
terjamin! Dia tu tanggung jawab saya, awak faham tak?” Ana dengar suara ayah
yang melengking kuat. Naik kecut perut Ana mendengarnya.
“Habis tu
saya dengan Mila tu bukan tanggung jawab awak? Anak awak je boleh berjaya? Anak saya, tak payah? Daripada awak menyusahkan
diri nak buat pinjaman, lebih baik awak kahwinkan je Si Ana tu. Awak pun tahu kan minggu depan Mak Bedah nak datang
merisik Ana untuk anak dia Si Mizi tu. Kalau dia datang merisik Mila, saya terus
setuju je. Tak payah susah-susah nak
sekolahkan lagi. Kahwinkan je, lepas
tanggung jawab kita!” emak tirinya masih sambung memetir. Semakin kecut perut Ana
apabila mendengar dirinya bakal dirisik orang.
Mizi? Memang
dia kenal sangat. Muhammad Rumaizi, anak kedua Mak Bedah tu. Seorang pegawai tentera
yang sedang berkhidmat di Sabah. Mak Bedah tu isteri kepada Pak Leman, tauke
kedai runcit di kampung ni. Kira dia orang ni orang ada-ada jugalah di kampung
ni.
“Sudahlah!
Jangan cakap lagi, nanti Ana dengar!”
“Biarlah dia
dengar! Senang, tak payah nak cakap banyak kali. Kalau awak cagarkan juga tanah
rumah ni, saya keluar dari rumah ni!” serentak dengan itu besen kosong di
tangan dihempas oleh Puan Kartina ke dalam singki. Kemudian dengan kaki yang dihentak-hentak
ke lantai dia melangkah meninggalkan ruang dapur. Tersentak Encik Aminudin
melihat gelagat isterinya.
Ana turun ke
dapur sebaik selesai menunaikan solat subuh. Masak memasak, mengemas rumah,
mencuci pinggan mangkuk dan mencuci kain baju adalah tugas rasminya sebaik
selesai menduduki SPM. Kalau orang lain menghabiskan masa dengan berehat-rehat
ataupun bekerja sambilan semasa menunggu keputusan SPM dia pula kena menjadi
bibik di rumah ini.
Puan Kartina
melarang dia bekerja di pekan berhampiran seperti rakan-rakannya yang lain.
Hendak keluar berjumpa teman-teman pun dilarang. Pendek kata Puan Kartina lebih
suka kalau dia berada 24 jam di rumah ini. Menyelesaikan segala kerja-kerja
rumah sedangkan Mila anak kandungnya itu selain daripada makan, tidur dan
menonton televisyen, memang tidak ada kerja lain yang berfaedah dibuatnya.
Sebaik
selesai menggoreng jemput-jemput ikan bilis Ana menghidangkannya di atas meja.
Pasti sekejap lagi emak tirinya akan turun untuk bersarapan. Ana tahu ayah
tidak ada di rumah. Subuh lagi ayahnya sudah keluar bekerja.
“Buatkan aku
air milo. Aku tak nak minum teh ‘o’ hari ni. Kembung perut aku minum teh ‘o’
bancuhan kau hari-hari!” Puan Kartina bersuara sebaik mengambil tempat di meja
makan.
Pantas Ana
menurut arahan. Milo panas dibancuh dalam muk.
“Kau duduk
sini. Aku nak cakap sikit!”
Ana letakkan
muk depan emak tirinya. Dia duduk berhadapan dengan Puan Kartina.
“Apa
rancangan kau lepas ni?”
“Kalau boleh
Ana nak sambung belajar. Ana tunggu keputusan matrik. Kalau dapat Ana nak
pergi.” Ana cakap dengan yakin. Dia tahu, ayah takkan mengambil risiko bergaduh
dengan emak tirinya. Setiap kali bergaduh bukan sahaja ayah akan berdiam diri
akhirnya, malahan kebanyakan perkakas rumah akan jahanam. Dihempas dan dilempar
oleh Puan Kartina. Ganas tak menahan perempuan yang berumur hujung 40an ini.
“Kalau
bolehlah? Erm... tapi masalahnya tak boleh! Minggu depan Mak Bedah nak datang
merisik. Senang cerita macam nilah, tak payah merisik-risik, kau bertunang je terus dengan Mizi... sampai masa kau
kahwin. Senang! Tak payah aku nak tengok muka kau kat rumah ni lagi. Menyemak je!” senang betul Puan Kartina
menghabiskan ayatnya. Gaya macam bercakap dengan kucing je. Tak payah ambil pot perasaan orang yang mendengar.
Kelu lidah
Ana mahu menjawab. Walhal dalam fikirannya ada macam-macam sebab dan alasan
mahu menyanggah kata-kata emak tirinya itu. Namun nampaknya perkataan-perkataan
tersebut hanya kekal dalam mindanya sahaja. Berdepan dengan Puan Kartina memang
mampu membuatkan lidahnya kelu. Patutlah ayahnya selalu kalah apabila berdebat
dengan emak tirinya ini.
“Dah, kau
pergi rumah Mak Wan... dia suruh kau datang sana pagi-pagi hari ni. Ada tetamu
nak datang katanya!” Belum apa-apa Ana dah dihalau pergi. Sarapan pun tak
sempat.

No comments:
Post a Comment