Wednesday, February 11, 2015

Satu Kali Lagi - Bab 2






Bab 2

Semenjak tiga bulan yang lalu memang menjadi tugas Ana ke rumah Mak Wan yang terletak lebih kurang tiga ratus meter dari rumahnya. Biasanya Ana berbasikal ke sana, tapi hari ini dia ambil keputusan untuk berjalan kaki sahaja. Tak ada mood nak kayuh basikal.

Di halaman rumah dua tingkat milik Mak Wan menjalar sebuah kereta besar. Ana tak ada hati pun nak tengok apa jenis kereta itu. Yang buat dia tertanya-tanya, siapa agaknya gerangan yang bertandang ke rumah Mak Wan hari ni?

“Assalamualaikum Mak Wan...!” Ana memberi salam di pintu dapur. 

“Wa’alaikumsalam, masuk Ana!” suara Mak Wan kedengaran. Perlahan Ana melangkahkan kaki masuk ke dalam rumah melalui pintu yang memang sedia terbuka.

Mak Wan sedang bersarapan rupanya. Bersama dengannya ada seorang lelaki muda.

“Mari kita sarapan sama-sama Ana, duduklah!” Mak Wan mempelawa. Siap tunjuk kerusi kosong kat sebelah lelaki muda tu. Ana jadi serba-salah. Dia jeling kerusi sebelah Mak Wan. Ada tudung saji diletakkan atas kerusi tu.

“Duduk kat sebelah Imran tu...” kali ni Mak Wan tunjuk kerusi tu dengan muncung mulut dia pulak. Nak tak nak Ana duduk juga di sebelah lelaki tu.

“Kenalkan, anak saudara Mak Wan, Imran Hakimi...” Ana dan Imran berpandangan seketika ketika Mak Wan memperkenalkan mereka.

“Saya Ana Nabila, jiran Mak Wan...” Ana turut perkenalkan diri. Lelaki itu menganggukkan kepalanya.

“Makan Ana...” Mak Wan letakkan sepinggan nasi goreng kampung beserta telur mata kerbau depan Ana. Alhamdulillah, rezeki. Kat rumah tadi dia langsung tidak menjamah sarapan.

Ana tengok Imran pegang cawan dengan tangan kiri. Ishk... tak ada adab dia ni, Ana cakap dalam hati. Tapi kemudiannya baru dia perasan. Imran memakai anduh di tangan kanannya. Dan pergelangan tangan kanannya berbalut, err... dia cedera ke?

“Jatuh masa main bola tampar, retak pergelangan tangan,” Imran cakap sambil senyum pandang Ana yang terjengah-jengah pandang tangan kanan dia dari tadi. Gelagat gadis polos yang nampak sopan dan malu-malu itu mencuit hatinya.

Inilah agaknya gadis yang Mak Wan ceritakan kepada dia malam tadi. Gadis malang yang sering dibuli oleh emak tiri dan juga anaknya. Gadis yang begitu rajin dan ringan tulang membantu Mak Wan di rumah ini. Selalu menemani Mak Wan berbual ketika emak sedaranya itu kesunyian di rumah besar ini.

“Ana, teman Imran makan ya. Mak Wan nak tengok Mak Awa kat dapur tu.” Lepas cakap Mak Wan terus angkat pinggan dan cawan yang dia gunakan dan terus menuju ke dapur. Oh ya, Mak Awa tu adalah pembantu di rumah ini.

Kalau Ana tahu Mak Wan nak tinggalkan dia dengan Imran di meja makan ni, dia lebih rela tak bersarapan hari ni. Segannya.

“Awak! Kenapa tak makan?” Imran pandang Ana berselang-seli dengan pandang pinggan yang masih belum luak isinya.

“Encik tu, kenapa tak makan?” Ana pandang pinggan Imran dan cakap benda yang sama. Seketika dia tersedar kewajaran dia bersikap lancang seperti itu. Mulut ditutup dengan tapak tangan kanan.

“Saya tanya awak, awak tanya saya balik eh? Nampak tak tangan saya berbalut ni? Macam mana saya nak makan? Takkan nak suap guna tangan kiri?” Imran tunjukkan tangan kanan dia yang berbalut, siap disokong dengan anduh lagi.

“Habis tu macam mana Encik Imran makan selama hari ni?” Ana bertanya dengan polos. Imran senyum melihat kenaifan Ana.

“Tapi, boleh guna sudu dan makan dengan tangan kiri, kan?” Ana capai sudu dan tayang depan Imran. Lepas baca doa makan Ana sudu nasi goreng ke dalam mulut.

“Saya ingat awak ambil sudu tu tadi sebab nak suap saya makan. Rupanya suap diri sendiri...” Imran mengusik. 

“Eh, takkanlah encik nak saya suapkan pula, kan?” Ana pandang Imran dengan muka pelik.

“Tak boleh ke?”

“Memang tak bolehlah...” Ana sambung suapan. Dia mahu cepat-cepat habiskan sarapan dan tolong Mak Awa di dapur. Daripada dia suap mulut Imran, lebih baik dia suap mulutnya sendiri. Dia pun lapar sangat, sejak malam tadi dia belum menjamah sebarang makanan.

Cuti menunggu keputusan SPM memang dihabiskan dengan menolong Mak Awa di rumah ini. Atas permintaan Mak Wan. Kerana Mak Awa tu sudah hampir enam puluhan umurnya. Dah tak berapa larat nak menjaga rumah besar dua tingkat ini. Mak Wan tu pula rasanya lebih tua sedikit je daripada Mak Awa. Jadi memang Ana selalu ke mari untuk membantu apa yang patut.

“Kalau saya minta awak tolong suapkan saya makan, boleh?” Imran bersuara sambil pandang tepat kepada Ana. Terkebil-kebil Ana dibuatnya. Sempat Imran meneroka rupa paras gadis pingitan di sebelahnya ini. Muka bujur sirih, mata coklat yang besar dan bercahaya, bibir bak delima merekah dan senyuman dia nampak sempurna dengan gigi putih yang tersusun bak mutiara.

“Ala, macam nurse rawat pesakit tu...” Imran mencuba nasib. Suka dia melihat wajah serba-salah gadis muda ini. Sengaja dia tolak pinggan ke sebelah kiri. Dekat dengan pinggan nasi goreng Ana.

Ana pandang pinggan nasi goreng milik Imran. Memang nampak belum berusik langsung. Dia betul-betul tak boleh suap makanan sendiri ke?

“Cepatlah suap, saya lapar ni... dari malam tadi saya belum makan. Segan nak minta Mak Wan ataupun Mak Awa suapkan. Nasib baik awak datang. Lagipun awak memang part time kat sini, kan?” Imran buat rayuan gombal.

Part time?’ Memanglah dia part time di sini. Dia menolong Mak Awa menyelesaikan kerja-kerja rumah dengan sedikit bayaran. Tapi suap menyuap orang bukan dalam bidang tugas dia rasanya. Mak Wan tu, demam macam mana sekali pun tak pernah Ana suapkan makan dia.

Tapi... ishk, lelaki ni tangannya berbalut sebab mengalami keretakan. Dia memang tidak berupayalah kiranya ni. OKU gitu.

Ana tarik nafas dan capai sudu dalam pinggan nasi Imran. Perlahan dia sudu nasi dan diangkat separas mulut Imran.

“Tu dah kenapa pulak nak bersuap-suap? Ingat makan beradap pengantin baru ke apa?” suara Mak Wan membuatkan sudu di tangan Ana terlepas. Langsung bertabur nasi goreng atas seluar Imran. Cepat-cepat Imran bangun dan mengibas-ngibas seluarnya. Ana apa lagilah, gabra tak tentu arah dibuatnya.

“Mak Wan ni potong stim betullah. Im baru nak manja-manja dengan Ana...” dengan tak malunya lelaki itu bercakap sambil tunjuk muka tak puas hati kepada emak saudaranya itu.

“Kalau nak bermanja-manja, kahwin! Ha, masa tu bermanjalah puas-puas dengan isteri kamu!” Mak Wan tak bagi chance.

Imran hanya mampu memerhatikan Ana yang menonong ke dapur sambil membawa pinggan dan cawan ke dapur. Nasi yang bertabur di bawah meja tadi Ana kutip dengan tangan. 



‘Hai, bosannya!’ Imran bercakap dengan diri sendiri. Pergelangan tangan kanan yang sesekali terasa berdenyut-denyut membuatkan muka dia berkerut. Dah hampir sejam dia duduk di beranda tingkat atas rumah dua tingkat ini. Sejam itu juga dia menghadap laptop, melayari internet. Susah gila terkial-kial menaip dengan tangan kiri.

Suara orang berbual-bual di tingkat bawah menarik perhatiannya. Dia bangun lalu menjenguk. Ah, gadis pingitan itu sedang berbual dengan Mak Wan rupanya. Sambil tu lincah tangannya menggembur tanah di dalam pasu. Habislah, kena jadi tukang kebun Mak Wanlah nampaknya gadis itu.

Cekap gadis itu bekerja. Nampak manis dia berbaju kurung kain kapas. Walaupun baju kurung itu sudah kelihatan agak lusuh namun tetap nampak menarik kepada si pemakainya. Tiba-tiba Imran mendapat idea.

“Mak Wan!” Imran memanggil ibu saudaranya yang ralit membelek-belek bunga dalam pasu. Apabila mendengar suara dia kedua-dua perempuan itu mendongak mencari wajah si pemanggil.

“Hah, ada apa?” Mak Wan jawab sambil bercekak pinggang. Walaupun emak saudaranya ini memang jenis yang garang dan tegas namun Imran tetap suka ke mari. 

“Boleh pinjam budak tu kejap?” Imran tunjuk dengan muncung kepada gadis yang berada di sebelah Mak Wan.

“Kau nak pinjam Ana?” Imran mengangguk sebagai jawapan kepada soalan Mak Wan.

“Nak buat apa?”

“Nak minta dia tolong menaip...” Idea nak minta bantuan Ana muncul di fikiran. Dia pasti Ana biasa menggunakan komputer. Alah, budak-budak zaman IT, biasalah. Pasti dia orang fasih sangat melayari internet dan sebagainya.

“Sekarang ke?” Mak Wan tanya.

“Taklah... tahun depan pun boleh!” Imran main-main.

“Ha, baguslah... kau tunggu jelah sampai tahun depan sebab sekarang Ana ni tengah nak tanam bunga!” Mak Wan pun main-main sebenarnya. Tapi Imran dah buat muka seposen.

3 comments: