Wednesday, February 11, 2015

Satu Kali Lagi - Bab 3






Bab 3

Sepuluh minit selepas itu Ana dah terpacak di depan Imran. Di beranda tingkat atas ni ada set meja yang ala-ala meja makan tu, cuma meja ni agak kecil dan mempunyai empat kerusi.

“Duduklah!” Imran tunjuk muncung kat kerusi depan dia. Ana akur dan ambil tempat setentang dengan tempat Imran duduk.

“Siapa nama?” Imran mulakan sesi interviu. Konon-konon macam nak ambil staf baru bekerja dengan dialah ni.

“Ana Nabila binti Aminudin,” perlahan Ana menjawab. Bukan masa sarapan pagi tadi dah berkenalan ke?

“Umur?”

“18 tahun.”

“Oh, baru dapat keputusan SPMlah ni?” Imran pura-pura tak tahu. Walhal sejak malam tadi lagi Mak Wan sudah bercerita tentang gadis ini.

Mak Wan bersimpati benar dengan gadis muda ini. Mendengar Mak Wan berkisah bagaikan dia sedang mendengar dongeng Cinderella pula gayanya.

“Dapat berapa A?” Imran mahu menghilangkan rasa segan gadis itu terhadapnya. Gadis berusia 18 tahun itu bagaikan adik kecil kepada dia yang sudahpun berusia 26 tahun.

“8A 1B,” Ana menjawab tanpa memandang wajah Imran. Pandangan masih dipakukan ke atas permukaan meja kayu jati yang berwarna coklat kehitaman.

“Tahniah! Wahhh... pandainya Ana. Yang dapat B tu mata pelajaran apa?” Imran memang kagum dengan keputusan SPM Ana. 

“Bahasa Inggeris.”

“Oh, okey... not bad. B pun bagus. Erm... Ana biasa guna komputer, kan?” Ana angguk kepala. Di rumah memang ada laptop dan juga kemudahan broadband internet. Tapi Mila punyalah. Cuma sesekali Mila benarkan Ana menggunakannya. Tapi kawan baik Ana yang bernama Anis dan Siew Foong tu selalu je benarkan Ana gunakan laptop dia orang. Taklah susah mana pun.

“Saya nak minta Ana tolong... jadi jurutaip saya. Menaip gunakan sebelah tangan memang agak menyeksakan. Sampai satu tahap saya rasa macam nak taip guna gigi je. Tangan kanan saya ni masih bengkak lagi. Sakit kalau tersentuh... boleh kan Ana bantu saya?”

“Bo... boleh...” Ana pun tak pasti sebenarnya. Dia patut bantu encik di depannya ini ataupun tidak. Sebab sepatutnya dia di sini untuk bantu Mak Wan dengan Mak Awa, tapi tadi Mak Wan juga yang suruh dia naik ke sini. Tengok tangan yang berbalut dalam anduh tu Ana jatuh kasihan jugalah.

Imran pusingkan laptop ke arah Ana. Kemudian dia bangun, tarik kerusi dan duduk di sebelah Ana.

Ana pandang laptop Macbook Pro warna perak di depannya. Dia tahu ini antara laptop yang berjenama bagus dan mahal harganya. Alangkah bahagianya kalau dia pun ada sebuah laptop. Yang murah-murah dan tak berjenama terkenal pun tak apa. Asalkan dia boleh menggunakannya.

“Ana ada Facebook?” Imran nampak pandangan mata Ana yang bersinar ketika memandang laptop itu tadi. Dia tahu Ana seorang yang bijak. Gadis itu juga cekap bekerja. 

Sebenarnya dari pagi tadi dia curi-curi memerhatikan Ana. Gadis itu riang dan menyanyi-nyanyi kecil ketika dia menyidai jemuran. Hari ni hari mencuci cadar sedunia agaknya. Dua kali dia nampak Ana berulang alik mengangkat bakul kain yang berisi cadar dan selimut. Cara dia menyidai juga kemas; dari situ dia tahu Ana jenis yang teliti.

Ketika Ana sibuk mengemop lantai di tingkat bawah tadi Imran sebenarnya sudah memberitahu Mak Wan yang dia mahu meminjam Ana. Cepat sahaja Mak Wan bersetuju. Siap berpesan agar Imran mengajar Ana menggunakan internet. Nampak gayanya sayang benar Mak Wan dengan Ana.

“Tak ada...” perlahan Ana menjawab. 

Iya ke tak ada?” Imran pandang Ana dengan muka tak percaya. Walaupun mungkin tiada kemudahan internet di rumah Ana tetapi kan banyak kafe internet yang beroperasi di sini? Setahu Imran pemilik akaun internet ni memang pelbagai lapisan umur dan keturunan. Murid sekolah tadika hinggalah yang sudah bertaraf warga emas, kebanyakannya mempunyai akaun laman sosial kalaupun bukan Facebook.

Jangan tak tahu, anak-anak para selebriti di Malaysia ni pun dah ada laman Facebook, Twitter dan sebagainya sebaik sahaja mereka lahir ke dunia ini. Moden sungguh pemikiran ibu bapa sekarang ini. Belum apa-apa dah nak update itu dan ini buat bayi mereka. Siap ada pengikut yang ramai pulak tu!

Ana menganggukkan kepala. Buat apa dia nak menipu? Memang dia tidak ada akaun Facebook. Bukannya dia ada fasiliti internet sendiri pun.

“Ana nak buka akaun Facebook? Kita buka satu ya?” Kalau ada akaun laman sosial kan senang? Mudah hendak berhubung. Ibarat dunia di hujung jari. Walaupun penggunaan internet ini ada sisi negatifnya tetapi kita sebagai pengguna haruslah bijak memilih dan menggunakannya dengan sebaik-baiknya.

Ana gelengkan kepala. Bukannya dia tak tahu fasal Facebook. Hampir kesemua rakan-rakannya ada akaun laman sosial tersebut. Bahkan Mila dengan emak tirinya itu pun ada akaun Facebook, jangan tak tahu! Cuma bagi Ana dia tidak ada kepentingan untuk membuka akaun tersebut. Rutin kehidupannya tidak menarik, tidak ada apa yang boleh dikemaskini dan dikongsi dengan rakan-rakan Facebooknya nanti.

“Ana pandai guna laptop kan? Saya yakin Ana cekap menaip!”

“Bolehlah sikit-sikit,” Ana merendah diri. Padahalnya selalu je dia menggunakan komputer di Pusat Sumber sekolahnya dahulu. Cikgu Haiza, guru Bahasa Malaysianya selalu menyuruh Ana menggunakan laptopnya untuk menaip artikel bagi dimuatkan dalam majalah sekolah. Kalau setakat nak jadi kerani data, Ana memang dah terlebih layak.

“Saya nak Ana taip artikel ni.” Imran hulur  Majalah PC keluaran Februari, 2014. Itu je yang dia jumpa dalam boot kereta tadi.

“Buka muka surat 15, Ana taip artikel tu dalam Microsoft Words.” Imran sambung arahan.

Perlahan Ana menggerakkan jemari, menyelak halaman yang dikatakan. ‘Amalkan Gaya hidup Digital’ Ana baca tajuk artikel tersebut. Okey, tapi kenapa ya dia kena taip semula artikel ini? Setahu Ana di rumah Mak Wan ada printer yang bukan sahaja boleh print tetapi juga boleh scan dan juga faks dokumen. Ke Encik Imran ni tak tahu?

“Encik pasti nak saya taip artikel ni?” Ana tanya dengan muka was-was.

“Ya, betul!” Imran angguk kepala. Di tangan dia ada iPhone 6, dia mahu curi-curi ambil gambar Ana. 

Ana menaip dengan tekun. Imran pura-pura baca tabloid depan mata. Padahal mata dia sesekali mencuri pandang wajah Ana. Wajah polos yang manis itu memang sedap dipandang mata. 

Pakaian Ana yang sopan membuatkan dia kelihatan lebih santun. Entah kenapa, Imran jatuh suka melihat perawakan Ana. 

“Cita-cita Ana nak jadi apa?” Imran bersuara, matanya difokuskan ke skrin iPhone 6 miliknya. Gambar-gambar Ana yang dia curi-curi tangkap tadi diperhati dengan penuh minat. Cantik! Ana fotogenik orangnya.

“Kalau boleh saya nak jadi cikgu,” Ana jawab dengan rasa sedih. Entahkan akan tercapai ataupun tidak cita-citanya itu.

“Cikgu? Kenapa nak jadi cikgu?” 

“Dengan menjadi seorang cikgu saya dapat berkongsi dan menyampaikan ilmu yang bermanfaat. Proses pengajaran dan pembelajaran tu pasti dapat menstimulasikan sel-sel otak saya agar lebih berkembang, lebih kreatif dan dapat menambahkan ilmu. Selain daripada memang meminati profesion perguruan saya juga suka dikelilingi oleh kanak-kanak. Lagipun sampai dah pencen nanti pun orang akan tetap panggil saya cikgu, pahala pun banyak. Tapi kena ikhlaslah. Apa-apa pekerjaan pun kena ikhlas, kan? Kerja itu ibadah!” petah dan bernas. Itulah yang Imran rasakan sebaik Ana menghabiskan ayatnya.

“Saya boleh pakai baju kurung hari-hari kalau jadi cikgu.” Ana sambung cakap. Itu yang dia nampak melalui cikgu-cikgu perempuan di sekolahnya. Cantik dan anggun cara mereka berpakaian. 

“Oh, Ana memang suka berbaju kurung ya?” tapi memang Imran akui, Ana kelihatan anggun dengan busana yang dipakainya. Sopan dan terpelihara. Baju kurung dan tudung warna pastel tetapi tetap menyerlahkan seri dan aura si pemakainya.

“Suka... tapi bukanlah setiap hari Ana berbaju kurung.” Nanti Imran ingat dia ni tak tahu berfesyen pula. Sesekali dia pakai juga t-shirt lengan panjang dengan seluar jean.

Erm, saya doakan Ana akan dapat mencapai cita-cita murni Ana tu nanti. Kalau dah jadi cikgu nanti jangan lupa belanja saya makan!” Imran mengorak senyum. Dengan keputusan cemerlang SPM Ana itu memang dia layak sangat untuk menjadi seorang guru. Bahkan kerjaya profesional lain pun dia layak. Apa-apa pun Ana kenalah terus mengorak langkah dan meneruskan pengajiannya. Tak akan jadi apa kalau dia terperuk sahaja di kampung ini.

“Terima kasih.” Perlahan sekali suara Ana menjawab. Ada getar sendu dalam suara itu.

No comments:

Post a Comment