Wednesday, February 11, 2015

Satu Kali Lagi - Bab 4






Bab 4

Seketika masing-masing diam. Ana meneruskan kerjanya. Sesekali laman majalah yang terbuka depan mata dikerling. Cekap dia menaip dan memindahkan ayat-ayat itu ke dada laptop.

“Dah siap Encik Imran.” Ana melepaskan jemari dari keyboard

“Dah siap?” Imran kerling jam di tangan. Wah, boleh tahan cepat juga Ana menaip. Tak sampai pun dua puluh minit, tapi ada baiknya dia periksa dahulu hasil kerja gadis itu. Manalah tahu dia menaip sekadar melepaskan batok di tangga sahaja?

“Dah, saya dah cek pun ejaannya. Insya-Allah, semuanya betul.” Yakin Ana berkata-kata. Buat Imran menghadiahkan sebuah kerlingan atas sikap over confident gadis tersebut.

“Saya kena minta diri dulu Encik Imran. Saya kena balik dan masak untuk makan tengah hari.” Ana bangun. Jam di tangan sudah menunjukkan angka 11 pagi. Dia sudah menolong Mak Awa menyiang dan menyediakan bahan-bahan untuk wanita itu masak untuk makan tengah hari orang di rumah ini. Beginilah rutin Ana setiap hari, dia akan membantu di sini sehinggalah menjelang tengah hari.

“Nanti petang Ana datang jam berapa?” Imran pandang wajah polos Ana. Gaya macam nak balik sangat dah Si Ana ni, berdiri siap-siap.

Err... biasanya sebelah petang saya tak datang dah.” Ana cuma akan datang jika diminta. Tapi rasanya tadi Mak Wan tak ada cakap apa pun. Jadi Ana fikir tidak perlulah dia datang ke mari lagi. Dia mahu menyudahkan jahitan silang pangkah ataupun membaca novel. Itu pun kalau emak tirinya dan Mila tidak menyuruh dia itu dan ini. Selalunya pantang lepa aje, macam-macam mereka akan menyuruh dia melakukannya.

Mila tu berat punggung sungguhlah. Nak ambil remote televisyen kat meja kopi depan dia pun kadang-kadang terjerit-jerit memanggil Ana. Memang bikin panas aje tinggal serumah dengan dua beranak yang berat tulang macam lori sepuluh tan tu.

“Kalau saya minta Ana datang, boleh?” Imran cuba memujuk. Dia tahu Mak Wan membayar sejumlah wang atas titik peluh Ana  membantu di sini. Tak mengapa, dia sanggup membayar asalkan Ana sanggup datang. 

“Nak datang buat apa?” kalau sekadar mahu berbual-bual dan membuang masa begitu sahaja, Ana memang bukan orangnya.

“Saya nak Ana bantu taip dokumen kerja saya ni. Saya masih dalam MC, tapi kerja kena buat juga!” Imran tunjuk folder atas meja. Ana ikut pandang tempat sama.

“Insya-Allah... tengoklah nanti macam mana, saya tak janji! Saya balik dulu Encik Imran, assalamualaikum!” Ana terus minta diri.

Imran perhatikan Ana dari mula dia keluar dari rumah sehinggalah kelibat gadis itu menghilang di sebalik pokok-pokok. Dekat mana rumah dia ya? Jauh ke?



Biasanya selepas makan ubat tahan sakit dan antibiotik Imran akan terus tidur. Sejak dia bercuti sakit memang dia tak lepas peluang tidur di waktu petang. Tapi hari ni dia tak mengantuk. Dia tidak dapat tidur sepicing pun. Puas dipaksa matanya untuk pejam namun gagal.

Sepetang juga dia duduk di beranda tingkat atas ini dan memerhati arah jalan Ana pulang pagi tadi. Namun kelibat orang yang ditunggu masih belum muncul.

“Dah jam 5 petang kut, asar pun sudah. Kenapa dia masih belum datang?” Imran mengomel sendirian. 

“Siapa yang belum datang?” 

Kuss semangat Im, Mak Wan! Mujur tak ada sakit lemah jantung, kalau tak; baring dalam kubur Im malam ni!” Imran urut dada, terperanjat dia diserang hendap oleh Mak Wan.

“Dah banyak sangat amalan nak buat bekal di sana nanti?” selamba Mak Wan menjawab. Mak Awa yang mengekori dari belakang tadi meletakkan dulang berisi minum petang. Ada bubur jagung dengan air teh ‘o’, sedapnya. Lepas tuangkan air ke dalam cawan Mak Awa berlalu pergi.

“Im minta Ana datang tadi, sebab banyak data yang nak kena taip dalam komputer. Tapi dia tak datang pun!” Imran buat nada tak puas hati. Tadi bukan main Ana cakap insya-Allah, tapi tak datang juga. Alahai...

“Oh, kenapa tak cakap dengan Mak Wan? Ana tu bukan boleh suka-suka hati kita je suruh dia datang ke mari. Kena beritahu emak tirinya dulu. Kalau tidak nanti aniaya je Ana dituduh merewang ke mana-mana.”

“Ha? Ana tu kaki merewang ke Mak Wan?” ishk, pelik pula dia rasa. Nampak perwatakan Ana tu macam budak baik-baik je. Takkan kaki rewang kut.

“Bukan tu maksud Mak Wan. Ana tu kan ada emak tiri. Si Kartina tu bukan boleh, kerja dia asyik nak cari salah Si Ana tu aje. Macam-macam kerja budak tu kena buat, dah mengalahkan kuli batak dia kat rumah tu. Masih juga tak betul di pandangan Kartina tu. Masih juga Ana tu dimarah, tak cukup dengan tu kadang-kadang penampar naik ke muka. Kesian Mak Wan tengok Si Ana tu!” bukan main beremosi emak saudaranya ini bercerita. Muka pun macam orang geram sangat. Imran rasa mesti Mak Wan dah jatuh sayang kepada Ana tu.

“Kena penampar?” Imran tanya dengan mata membulat. Tangan kiri pegang pipi sendiri. Seolah macam dia pulak yang kena penampar Jepun Puan Kartina tu. 

Seketika Imran terfikir, tentu sakit pipi Ana yang gebu dan mulus itu apabila dilayangkan penampar. Kejamnya.

Erm, makan bubur ni... Ana yang merincih jagung ni pagi tadi. Nipis-nipis aje, senang nak makan.” Mak Wan puji Ana secara tak langsung. Imran suap sesudu bubur jagung, memang sedap dan senang dikunyah. Taklah sebutir-sebutir jagungnya. 

“Ana tu nak bekerja sementara di bandar macam kawan-kawan dia yang lain tak dibagi. Suruh duduk rumah aje 24 jam, jadi kuli dia orang. Ayah dia tu pun satu, macam tak boleh buat apa langsung, tengok je anak tu kena buli. Ikut hati nak je Mak Wan ajak Ana tu duduk sini. Tinggal terus dengan Mak Wan pun tak apa. Kesian Mak Wan dengan Ana tu...”

Imran dengar dengan teliti ketika Mak Wan berkisah. Entah mengapa, jauh di sudut hatinya dia ingin tahu segala-galanya tentang Ana.  Gadis itu telah berjaya menarik perhatiannya. 

“Kartina tu memang emak tiri yang kejam. Mak Wan ingatkan di zaman moden ni dah tak ada orang berperangai macam tu, tak bertamadun. Kamu tau Im, Mak Wan dengar-dengar, dia tak benarkan Ana melanjutkan pelajaran. Alasannya tak cukup duit nak tampung pembelajaran Ana. Alah, setakat bayar yuran masuk belajar tu berapalah sangat. Bukankah ada pinjaman PTPTN untuk pelajar universiti? Tapi yang sebenarnya dia nak menghantar puteri kesayangan dia tu ke kolej swasta. Ana tu keputusannya cemerlang, nak dibandingkan dengan keputusan Si Karmila tu, memang jauh ayam dari reban!” Mak Wan sampai buat peribahasa sendiri pula.

“Puteri kesayangan? Siapa tu Mak Wan?” kalau dengar cara Mak Wan bercerita ni macam puteri kesayangan tu cantik dan terjaga rapi orangnya.

“Anak Si Kartina, bukan Mak Wan nak mengata. Tapi Karmila tu langsung tak pandai buat kerja rumah. Makan tidur ajelah kerja dia. Membela badan, makin hari makin besar!” 



Erkk... nasib baik dia belum sempat membayangkan rupa puteri kesayangan itu. Kenapa Imran rasa kisah Ana ni ada iras-iras je dengan kisah Cinderella? Kalaulah betul kisah Ana ni seperti kisah Cinderella, alangkah kasihannya. Rela je dia menjadi ‘Knight In The Shining Armour’ buat Ana. Ehem...

 



No comments:

Post a Comment