Wednesday, February 18, 2015

Satu Kali Lagi - Bab 10







Bab 10

Kata Mila biasanya jam 3 petang Ana akan habis kerja. Tapi ada juga pekerja yang menyambung lagi sejam dua sekiranya masih ada kerja yang belum siap.

Jam 2:30 petang Imran sudah menunggu di dalam kereta. Di sebalik pokok-pokok pisang di tepi jalan masuk menuju ke bengkel yang terletak di tanah lapang. Sengaja dia datang awal, dia tidak mahu terlepas pandang kelibat Ana.

Suasana riuh dari bengkel itu tidak memungkinkan Imran untuk turun dan menjengah. Nak pergi membeli bahulu dan rempeyek seperti yang dikatakan kepada Mak Wan tadi tipis nampaknya. Dari ruang terbuka yang berdinding separuh konkrit dan separuh jeriji itu dia nampak ada beberapa orang wanita sedang menggoreng sesuatu dalam kuali besar di depan mereka. Ada tiga empat kuali jugalah kalau tak salah pandangan Imran.

Tiba-tiba dia rasa kasihan kepada Ana. Tidak kejamkah takdir yang terlakar buat gadis itu sekiranya dia terpaksa melupakan cita-citanya dan bekerja di sini sepanjang hayatnya nanti?

Bagaimana pula kalau benar Ana akan menamatkan zaman gadisnya dengan Mizi? Setahu Imran Mizi itu berpangkat pegawai tentera. Menjadi isteri pegawai tentera Ana harus pandai menyesuaikan diri dengan segala macam acara dan majlis yang harus dia ambil bahagian. Boleh ke gadis polos dan naif itu memainkan peranan dia nanti?

‘Haih! Buat semak kepala otak aku je fikir benda bukan-bukan ni!’ Imran garu-garu kepala dengan kedua-dua tangan. Lebih baik dia mengosongkan fikiran dan memerhatikan sahaja pintu masuk bengkel tersebut. Manalah tahu kalau-kalau Ana keluar nanti. Bolehlah dia terus menegur gadis tersebut.



“Ana pergi susun bekas-bekas telur ni kat luar ya Kak Lijah!” Ana angkat sebeban bekas-bekas telur kosong yang disusun bertindan-tindan. Leganya sebab mereka sudah siap membungkus bahulu untuk hari ini. Ada seplastik bahulu untuk para pekerja membawa pulang. Memang Kak Midah ni majikan yang baik, tak kedekut langsung.

Ana bukan sahaja dapat bungkusan kecil bahulu, malah rempeyek dan juga kerepek pisang juga.

Sewaktu dia keluar membawa bekas-bekas telur itulah dia nampak kereta milik Imran tersadai di tepi jalan. ‘Apa dia buat di sini? Kereta dia rosak ke?’ Ana tertanya dalam hati.

Ah, lantak dialah... mana tahu dia tengah tunggu seseorang. Takkan Ana nak tegur dia pulak, kan? Ana masuk kembali ke bengkel untuk bantu mengemas apa yang patut. Dia dah boleh balik. Cuma tinggal mak cik-mak cik dan kakak-kakak yang bertugas di bahagian goreng menggoreng tu yang masih ada kerja.

Selepas bertukar sebutan salam Ana capai beg plastik yang dihulurkan oleh Kak Midah ke tangannya. Dengan ucapan terima kasih Ana melambai pergi.

Dia rasa hairan kerana kereta Imran masih ada di situ. Dari setengah jam yang dia nampak tadi kereta itu tidak bergerak.

Dengan rasa ingin tahu Ana bergerak menghampiri. Dijenguknya ke dalam, di bahagian pemandu. Dahlah kereta itu bercermin agak gelap, jenuh dia mengintai. Imran sedang terlentok tidur di kerusi pemandu. 

Ana berfikir-fikir seketika sama ada dia patut mengejutkan Imran ataupun tidak. Takkan dia mengantuk sangat sampai tertidur di sini? Rumah Mak Wan taklah jauh mana kalau berkereta. Kalau berjalan kaki, jauhlah juga.

Sedang dia menimbang-nimbang hendak mengetuk cermin kereta itu ataupun tidak orang di dalam sudah mencelikkan mata. Terus senyuman diukir untuk si gadis yang memang ditunggu. Cermin kereta diturunkan dan mereka berpandangan. 

“Encik... buat apa kat sini?” Ana terus tanya tanpa sempat Imran membuka mulut.

“Abang tunggu Ana...!” dengan penuh keyakinan Imran menjawab.

“Tung... tunggu Ana? Ke... kenapa?” ha, kan dah tergagap-gagap kawan tu dibuatnya. Renungan dan panahan mata Imran benar-benar membuatkan lidah Ana jadi kelu.

“Ana dah habis kerja ke?” mata Imran tak lepas-lepas memandang si gadis. 

“Dah, Ana nak balik...”

“Ana, nanti dulu!” Imran buka pintu kereta dan terjun keluar. Lengan kiri Ana ditarik.

“Ana... ikut abang sekejap! Abang ada hal nak cakap dengan Ana!” Imran lepaskan tangan apabila Ana merenung tajam ke arah tangan kekar yang mencekak lengan kurus miliknya.

“Nak pergi mana?” Ana ingin menolak, sesungguhnya dia rasa sangat penat. Mahu pulang ke rumah dan berehat sebentar sebelum membuat kerja-kerja rumah pula. Sejak Mila menggantikan dia di rumah Mak Wan makin bertambah-tambah kerjanya di rumah tu. Mila langsung tak nak bantu satu apa pun, kalau dulu boleh juga dia bantu menghidang makan malam. Sekarang ni... hai, susah nak cakap. Macam dia seorang sahaja tahu penat.

“Masuklah dulu...” Imran siap bukakan pintu kereta. Ana renung jam di tangan. Dah menghampiri jam 3:15 petang.

“Abang janji sekejap je. Nanti abang hantar balik ke sini dan Ana boleh ambil balik basikal Ana tu...” Imran perasan mata Ana yang sesekali memandang ke arah basikal warna merah hati miliknya itu.

Ana akur dan memanjat naik kereta Toyota Fortuner itu. Sempat dia melihat sekeliling. Harap-harap tak ada siapa yang nampak dia naik kereta Imran. 



Pantai Pelindung menjadi destinasi. Sepanjang perjalanan tadi masing-masing hanya berdiam diri. Sesampai sahaja di pantai Imran turun dahulu. Dia terus berjalan menonong menuju ke gigi pantai. Ana mengikut dari belakang.

Cuaca panas terik, angin dari laut menampar wajah. Angin yang kering dan panas hawanya.

“Ana sihat?” tiba-tiba sahaja Imran berhenti dan berpaling memandang Ana. Mujurlah Ana mengekori dalam jarak beberapa langkah di belakang. Kalau tak aniaya je dia terlanggar badan Imran.

“Ana sihat, encik? Bagaimana dengan tangan? Sudah okey ke?” Tangan kanan Imran masih berbalut walaupun dia sudah tidak memakai anduh. 

Hrm... nampak sangat Mila menipu dia. Geramnya Imran rasa. Haruskah dia cekik-cekik sahaja Mila tu kalau dia datang esok? Ana demam teruk konon!

Mungkin juga dia dah tak berani nak datang. Sebabnya tadi Imran dera dia cukup-cukup. Imran bagi dia buku Readers Digest dan suruh dia taip beberapa artikel ke dalam laptop. Terkial-kial juga nampaknya Mila menaip artikel dalam Bahasa Inggeris tersebut. Imran juga takut-takutkan Mila, esok dia mahu Mila taip lebih banyak dokumen dalam Bahasa Inggeris. Lepas habis taip dia minta Mila membacanya dan dia memeriksa dengan buku itu. Dia boleh nampak riak tak senang di muka Mila tadi. Dahlah sebutan Bahasa Inggeris dia hancus. Langsung tak sama dengan Ana.

“Kenapa Ana ambil keputusan bekerja di bengkel Kak Midah? Dia tawarkan gaji lumayan ya?” kali ini mereka berjalan beriringan. Perlahan-lahan kaki melangkah menyusuri pantai.

Ana tersenyum dengar perkataan ‘lumayan’ yang dituturkan oleh Imran. Lumayan mana sangatlah kalau setakat menjadi pembantu di bengkel Kak Midah tu. Kalau nak kerja kat situ tak perlu sijil pun. Janji rajin dan cekap melakukan tugas yang diamanahkan.

Kak Midah minta Ana datang bantu sebab dia kekurangan kaki tangan sehari dua ini. Masa Ana ke kedai runcit pagi semalam dia terserempak dengan Kak Midah. Tu yang Kak Midah tahu Ana sudah tidak ke rumah Mak Wan lagi.

“Ana dah tak nak bantu Mak Wan lagi? Tak kesian kat Mak Wan? Mila tu... erm, susah abang nak cakap. Tapi abang rasa dia memang tak pernah buat kerja rumah. Serba-serbi yang dia buat canggung dan hasilnya mengecewakan. Dia tak cekap macam Ana. Mak Wan dan Mak Awa susah semenjak Ana tak ada... Ana tak rasa nak tolong Mak Wan dan Mak Awa semula?” Imran kerling sekilas gadis di sebelahnya ini. 

Ana menjinjing sandal di tangan kiri. Kain baju kurungnya yang labuh dibiarkan sahaja disapu ombak yang sesekali menampar ke pantai. Imran menarik Ana ke kanan sedikit, menjauhi pukulan ombak. 

“Berilah peluang kepada Mila... dia yang nak bantu Mak Wan dan Mak Awa,” perlahan Ana berkata. Semenjak Mila nampak Imran menghantarnya dengan kereta besar itu Mila terus ubah fikiran. Dia mahu bekerja dan menggantikan tempat Ana. 

Ana tahu apa yang Mila cuba lakukan. Dia mahu cuba memikat hati Imran. Dia berpakat dengan emaknya untuk menjalankan misinya dan bekerja dengan Mak Wan. 

Ana juga tahu Mak Wan ada menelefon ayah, minta Ana datang semula membantu di rumahnya. Kerana itulah emak tirinya menjadi semakin marah kepada dia. Puan Kartina menyangka Ana yang mengadu perihal Mila yang menggantikan tempatnya. Sempat jugalah dia dimaki hamun ketika pulang tengah hari tadi.

“Tapi Mak Wan tak selesa dengan Mila. Apa kata mulai esok Ana kerja balik dengan Mak Wan. Nanti abang minta Mak Wan naikkan gaji Ana, siap bagi bonus lagi!” itu ayat yang Imran lontarkan buat Ana, tapi ayat dalam hatinya ‘Abang sanggup bayar gaji dan bonus untuk Ana, asalkan Ana sanggup datang ke rumah Mak Wan macam biasa, bermula esok!’

Ana hanya tersenyum dengar cadangan Imran. Bukan ada makna pun banyak ataupun sikit gajinya. Semuanya nanti akan diambil oleh emak tirinya itu. Kalau dia nak beli apa-apa, dia kena minta belas ihsan daripada ayah pula. 

“Datang esok ya Ana... abang teringin nak makan ikan cencaru sumbat sambal kelapa... pekena dengan kuah masak lemak labu ataupun kobis masak lemak campur udang, ada pulak ulam-ulaman dan sambal belacan, perghhhh...” nak meleleh air liur dia mengenangkan makanan yang disebutkannya tadi.

5 comments:

  1. Anna Linaz, cerita ni menarik untuk dibaca walaupun lain daripada novel2 sekarang yang banyak kisah manis meleleh dan kadang kala ayat2 kasar. Teruskan menulis seperti ini... thumbs up..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Miss Anonymous, terima kasih sudi baca, suka dan support saya untuk meneruskan kisah ini... insya-Allah saya akan teruskan!

      Delete