Bab 6
“Assalamualaikum
Encik Imran...” Ana memberi salam. Hari ini dia mengenakan blaus labuh
berlengan panjang warna biru muda yang dipadankan dengan jean biru tua. Ana
kelihatan lebih kecil apabila berpakaian seperti ini. Tudung bawal yang
dikenakan melengkapkan penampilan. Tapi mengapa ya? Ana kelihatan sedih hari
ini? Matanya tidak bercahaya, sedikit merah dan sembap. Dia menangiskah sebelum
ke mari tadi?
“Wa’alaikumsalam,
Ana apa khabar? Silalah duduk...!” Imran menarik kerusi dengan tangan kiri dan
mempersilakan Ana mengambil tempat di situ.
“Khabar baik!” Ana
jawab dua patah dan membetulkan duduk. Di hadapannya sudah siap tersedia laptop
yang sudah dipasang.
“Kenapa petang
semalam Ana tak datang? Abang tunggu!” Imran dah tak sabar lagi hendak
bertanya.
“Oh, Ana minta maaf.
Ana ingatkan encik cakap main-main aje,” lepas cakap Ana tunduk pandang keyboard
laptop.
Bukannya dia tidak
ingat permintaan Imran agar dia datang semula ke sini petang semalam. Hal yang
berlaku di rumahnya ketika dia balik tengah hari semalam tidak memungkinkan dia
keluar semula.
“Ana ada masalah ke?” Imran cuba bersikap
prihatin. Pantas Ana gelengkan kepala. Takkan dia mahu membuka hikayat sedihnya
di sini. Dia baru je kenal Imran dan kalau dia hendak bercerita tentang
masalahnya pun; Anis, rakan baiknya kan ada. Dia belum hilang akal mahu
bercerita kepada orang yang baru dikenali, lagi-lagi orang itu adalah Imran
yang bukan sama jantina dengannya. Tak sesuai!
‘Tak mahu bercerita
tidak mengapalah, takkan nak paksa’ itu kata hati Imran. Tapi dia memang tak
suka tengok Ana dalam kesedihan. Dia mahu ceriakan mood Ana yang suram tu.
“Ana, abang dah bukakan Ana akaun Facebook
tau... Ana tengok ni!” Imran masukkan alamat e-mel dan juga password. Terpapar akau Facebook dengan
nama Ana Nabila. Siap ada DP gambar Ana yang sedang menaip di laptop. Gambar
curi.
Sangka Imran Ana
akan gembira dan berterima kasih kepadanya kerana membukakan akaun Facebook
buat gadis itu. Tetapi reaksi dan penerimaan Ana benar-benar membuat Imran
terkejut.
“Encik, saya tak
mahu ada akaun Facebook. Boleh tak encik tolong tutup akaun tu?” muka pucat Ana
dia pandang dengan rasa yang berbaur.
Susah payah dia
bukakan akaun laman sosial itu untuk Ana. Dan lagi dia dah siap tambah Ana ke
dalam senarai kenalannya. Tup-tup Ana minta dia tutup akaun tu tanpa mahu
melihat-lihat terlebih dahulu.
“Encik tolong buang
gambar saya tu, saya takut ada orang nampak nanti. Kalau mak cik tahu saya ada
akaun Facebook, nanti dia marah.” Ana jawab dengan takut-takut. Ah... fahamlah Imran. Bukannya Ana tidak
mahu ada akaun Facebook, tetapi dia takut dimarahi emak tirinya. Ishk, takkanlah buka akaun Facebook pun
salah?
“Baiklah, abang akan
tutup akaun tu nanti. Ana jangan risau...!” rasa menyesal pula dia
memandai-mandai sendiri. Sekejap lagilah dia keluarkan gambar-gambar Ana yang
dia sudah upload dalam Facebook tu.
Maaflah Mark Zuckerberg, nampaknya Ana tak sudi nak guna aplikasi yang kau
cipta!
“Encik nak Ana buat
apa hari ni?” suara itu perlahan namun lunak bunyinya. Ana ni masih mengekalkan
ciri-ciri ketimuran. Dia perasan Ana sangat menghormati orang yang lebih tua.
Sentiasa bercakap dengan lembut dan berhemah. Sentiasa tersenyum juga. Tapi
Imran tahu, Ana menyimpan seribu satu rahsia dalam hatinya. Mata yang bulat dan
galak itu kadang-kadang sirna pandangannya.
“Abang ingat nak
minta Ana masukkan data dan figures
tender ni dalam sistem. Dah ada formatnya. Tapi sebelum tu, boleh tak Ana teman
abang pergi klinik sekejap? Abang nak pergi follow
up check-up tangan abang ni. Mak Wan dah tahu dan dia bagi kebenaran abang
bawa Ana ke bandar.”
Ana jadi
serba-salah. Tak ada orang lain ke yang boleh teman Imran ke klinik? Apa pun
dia kenalah beritahu ayah terlebih dahulu. Ana keluarkan handphone zaman batu dari dalam beg galas yang dia bawa.
“Pergilah Ana,
temankan Imran. Boleh juga Ana keluar sekejap dari kampung ni. asyik terperap je dalam rumah... tentu Ana bosan! Mak
Wan dah telefon ayah Ana, dia beri kebenaran Ana temankan Imran.” Ana berpaling
arah pintu dan nampak Mak Wan sedang berdiri di situ. Entah sudah berapa lama
Mak Wan berdiri di situ agaknya?
Dia baru bercadang
mahu menelefon ayah dan minta kebenaran tapi nampaknya Mak Wan lebih pantas
bertindak. Maka Ana tiada alasan untuk
menolak permintaan Imran.
“Encik, macam mana
nak memandu dengan tangan macam tu?” Ana pandang muka Imran dengan hairan.
“Ana boleh memandu?”
Bulat mata Ana
dengar soalan yang tak dijangka. Pantas dia menggelengkan kepala. Dia manalah
ada duit hendak belajar memandu. Yang dia mampu, kayuh basikal ajelah ke hulu
ke hilir. Tapi belum pernah lagi dia buat hilang akal, kayuh basikal sampai bandar.
“Tak mengapa, Ana
jangan risau. Kereta transmisi automatik ni tak banyak gunakan tangan untuk
mengendalikannya.” Imran senyum sambil terkial-kial tarik tali pinggang
keledar. Tersekat, maka Ana membantu dia menarik dan memasang tali keledar pada
bucklenya.
Ana was-was
sebenarnya. Boleh ke Imran memandu dengan sebelah tangan? Kalau kemalangan
macam mana? Tak fasal-fasal berbalut tangan kiri dia pulak. Tapi kalau kemalangan mesti dia pun terlibat sama. Jangan
dia pun berbalut di sana sini sudahlah. Tak sanggup nak jadi mumia, itupun
kalau masih hidup. Kalau meninggal sah kena balut dengan kain kapan! Ana
beristighfar dalam hati. Perlahan dia membaca doa naik kenderaan.
“Appointment pukul 10:30 pagi... tapi
rasanya awal lagi ni, kita pergi minum dulu ya? Abang belanja!” Imran beritahu
sebaik keretanya meluncur ke jalan raya. Nampak memang cekap dia mengendalikan
kenderaannya walaupun sebelah tangannya disokong dengan anduh.
Hem... kalau Imran tak
cakap pun tentu dia yang kena belanja. Ana pegang beg galas di ribanya. Dalam
beg tu jangan katakan duit, kad pengenalan pun dia tak bawa. Belum pernah lagi
dia bawa dompet ketika ke rumah Mak Wan.
Mereka menuju ke
Bandar Kuantan. Jarak dari kampung ke Bandar Kuantan tak sampai pun sepuluh
kilometer, sekejap masa sahaja mereka sudah tiba di bandar.
Restoran Alif yang
terletak bersebelahan dengan Megamall menjadi tempat pilihan untuk minum pagi.
“Ana nak makan apa?
Oderlah... abang nak cuba nasi dagang dengan teh tarik.” Imran beritahu Ana
sekaligus memberitahu kepada pelayan.
“Ana nak minum
ajelah! Teh tarik!” dia sudah bersarapan nasi goreng kampung pagi tadi.
“Okey, tambah satu
lagi teh tarik dengan tosei!” Imran tambah oder. Pelayan mengangguk dan berlalu
pergi.
Tak ramai pelanggan
lain dalam restoran ketika ini. Yang bekerja pejabat pasti sudah masuk kerja.
Jam dah melebihi angka sembilan pagi.
“Ana selalu turun ke
Bandar Kuantan?” Imran mahu Ana membiasakan diri dengannya. Ana asyik tunduk je kalau dengan dia. Nak kata Ana ni
pendiam, dengan Mak Wan dan Mak Awa bukan main lagi sembangnya.
“Jarang...” bukannya
dia ada kepentingan untuk ke selalu turun ke bandar. Lainlah emak tiri dan Mila
tu. Boleh dikatakan setiap bulan mereka akan berjalan-jalan di bandar. Setiap
kali ayah ajak Ana pergi sekali Puan Kartina akan marah-marah dengan alasan
banyak kerja rumah yang masih belum Ana lunaskan. Ayah yang malas bergaduh
dengan emak tirinya itu hanya mampu menggelengkan kepala. Ada tidak pun
sesekali mereka akan bungkuskan makanan untuk dia. Setakat itu sahajalah.
“Ana memang suka
duduk terperuk dekat kampung aje ya?”
Berubah muka Ana
dengar kenyataan yang keluar daripada mulut Imran. Perkataan ‘terperuk’ yang Imran
gunakan tu menyentap tangkai hati dia. Terasa macam katak bawah tempurung pun
ada!

amboi imran, tak sayang mulut ckp anak suka duk terperuk kat kg....huhu
ReplyDelete