Thursday, February 12, 2015

Satu Kali Lagi - Bab 7






Bab 7

Sebaik pelayan letakkan pesanan Imran letakkan bekas berisi tosei depan Ana. Baru Ana nak buka mulut kata dia masih kenyang tapi dia dengar suara garau Imran minta dia tolong carik-carikkan tosei tu jadi kepingan kecil supaya senang dia makan. Malunya, ingatkan dia nak suruh Ana makan tosei tadi. Lincah tangan Ana ‘mengerjakan’ tosei nan sekeping itu. 

 “Ana makan nasi dagang ni, tadi abang rasa lapar. Lepas pandang muka Ana kenyang pulak!” Imran tolak pinggan berisi nasi dagang ke depan Ana. Hrm... kenyang ke kalau tangan kiri tu sibuk mencecah tosei ke dalam kuah kari?

Tak sangka, dalam rasa kenyang tu boleh aje Ana habiskan sepinggan nasi dagang yang menjadi kegemarannya itu. Siap menjamu selera di situ mereka ke Kuantan Medical Centre. Ingatkan Imran nak pergi klinik biasa-biasa je, rupanya ke pusat perubatan. 

Lama juga Ana tercongok menanti ketika Imran berjumpa dengan pakar ortopedik. Dia siap ajak Ana teman dia masuk jumpa doktor tadi tapi Ana gelengkan kepala. Apa hal yang sampai nak berteman bagai? Bukannya Ana ni isteri dia pun.

Selesai urusan berjumpa dengan doktor, buat pembayaran dan ambil ubat Imran ajak Ana balik. Beg plastik berisi ubat dihulurkan ke tangan Ana. Balutan di tangan kanan Imran tu dah bertukar dengan yang baharu.

“Masih sakit lagi ke?” kesian pulak Ana tengok dia ni. Masa makan tadi pun terkial-kial dia nak menyuap makanan. Kalau ikutkan tak elok makan dan minum menggunakan tangan kiri tapi dalam kes Imran ni dikira darurat. Hilang keupayaan sementara, nak buat macam mana, kan?

“Masih bengkak lagi, doktor suruh datang balik dan x-ray. Harap-harap tulang yang retak tu akan bercantum balik... kalau tak niaya la abang, jadi OKU.” Imran cakap sambil senyum dan buka pintu kereta.

Bola tampar tu bukan ke lembut? Ke dia ni tampar bola boling? Tu yang sampai tangan retak tu kut?

“Macam mana boleh retak?” daripada tertanya-tanya, baik dia tanya aje terus dengan tuan empunya badan.

“Terjatuh masa nak buat spike!” dengan senang hati Imran menjawab. Kembang juga rasa hati dia apabila Ana bertanya. Tanda dia ambil berat, kan?

“Sebab tu dapat cuti sakit lama?” 

“Haah... untung juga tangan ni retak. Kalau tak retak abang tak dapat MC lama. Kalau tak dapat MC lama tentu abang sibuk bekerja dan tak datang ke sini. Kalau tak datang ke sini tentu abang tak dapat berkenalan dengan Ana...” Imran suka melihat gelagat Ana yang malu-malu.

Tengoklah, baru usik macam ni dah merah muka dia. Gadis pingitan betullah. Dahlah bahasakan dia encik, dah rasa macam kat opis pun ada apabila Ana berencik-encik dengan dia. Panggil abang kan lebih senang?



“Lambat balik? Macam mana tangan? Dah baik?” Mak Wan tanya soalan sebaik Imran menjejakkan kaki ke dalam rumah. Dia sudah hantar Ana pulang ke rumah tadi.  Dia ajak Ana makan tengah hari dulu sebelum balik tapi gadis itu menolak. Dia nak cepat balik katanya.

Imran nampak dua orang perempuan sedang berbual di beranda rumah ketika dia menghantar Ana tadi. Mungkin itu adalah pasangan anak beranak tiri yang sering membuli Ana selama ini. Imran perasan renungan tajam kedua-dua perempuan itu apabila nampak Ana keluar dari kereta. Muka Ana kelihatan pucat dan takut. 

“Kena datang balik buat x-ray Mak Wan. Tadi tak sempat, kalau tunggu nanti balik lambat. Kesian pula kat Ana. Tadi pun Im nampak emak tiri dia tu menjeling bukan main tajam lagi. Im nak turun dan kenalkan diri tadi. Nak minta maaf sebab Im bawa Ana ke bandar. Tapi Ana tak bagi. Dia suruh Im cepat-cepat beredar. Menyesal pula Im ikut cakap Ana tadi.”

“Menyesal? Kenapa pula?”

“Im takut Ana kena marah...” 

Caring pula kamu dekat Si Ana tu ya?” Mak Wan senyum sumbing.

“Im bukan apa, tak naklah sebab Im dia kena marah pula. Mak Wan juga yang cakap, emak tiri dia tu garang dan pernah tampar Ana.” Imran sedikit gusar. Dia pun tidak tahu kenapa, dia jadi sangat ambil berat tentang Ana sekarang ini.

“Tak payah risaulah Im. Kan kita dah minta kebenaran daripada ayah Ana. Takkan Kartina tu berani nak apa-apakan Ana pulak...” Mak Wan optimis.

“Legalah hati Im ni kalau macam tu. Err... Mak Wan dah makan ke? Im rasa lapar pulak.” 

Herm... pergilah makan, Mak Wan makan dengan Mak Awa tadi. Lama sangat tunggu kamu balik berdating!”

Imran cuma tersengih. Dia tahu Mak Wan saja main-main, berdating apanya di pusat perubatan tu.  Apa pun dia berharap Ana baik-baik sahaja. 



Pagi itu dengan penuh semangat Imran menanti Ana di beranda tempat dia selalu melepak. Dari atas sini dia dapat memerhatikan sekeliling dengan lebih jelas. Rumah Mak Wan ni terletak di simpang tiga, atas bukit. Rumah jiran-jiran agak berjauhan antara satu sama lain. Di sekeliling rumah masih-masing banyak ditanami dengan pokok buah-buahan. Semuanya sudah tinggi menjulang, sesetengahnya ada yang menutup pandangan. 

“Assalamualaikum Mak Wan...” Imran dengar suara perempuan memberi salam. Dia bangun lalu menjenguk ke arah suara itu datang. Seorang perempuan yang bertocang dua dan berbadan gempal sedang berdiri di muka pintu.

“Mak Wan... oooo Mak Wan...!” 

“Wa’alaikumsalam...” terkocoh-kocoh Mak Wan datang dari arah dapur.

“Mila, ada apa Mila?” terperanjat Mak Wan melihat saudara tiri Ana itu muncul di pintu rumahnya.

“Erm... Ana tak dapat datang jadi emak suruh Mila gantikan tempat dia!” dengan tersengih-sengih Mila memberitahu.

“Oh, kenapa Ana tak dapat datang?” Mak Wan buat muka hairan. Lebih dia hairan lagi kerana Mila sanggup menggantikan tempat Ana. Walhal selama ini jika Ana demam dan tidak dapat datang jangan haraplah Mila akan datang menggantikannya. Ini memang sesuatu yang amat pelik!

“Dia... dia demam!”

“Demam? Kesiannya, dah bawa ke klinik?” soalan Mak Wan tidak berjawab. 

“Erm, masuklah Mila...” Mak Wan jemput juga gadis itu masuk ke rumah. Dia tidak fikir untuk memberikan Mila apa-apa kerja. Dia tahu Mila itu di rumahnya sendiri pun tak pernah buat apa-apa kerja.

Mila diajak duduk di ruang makan. Mak Awa siap menghidangkan secawan teh ‘o’ panas dan juga mi goreng lebihan sarapan pagi tadi. Baru sekali ajak-ajak ayam Mila terus makan tanpa toleh kiri kanan lagi. Siap menambah mi goreng setelah pinggan di depannya tadi licin.

Mak Awa yang mengintai di sebalik pintu dapur menggelengkan kepala. Lain benar perangai Mila ni jika hendak dibandingkan dengan Ana. Memang jauh panggang daripada api. Kemudian Mak Awa menggamit Mak Wan yang sedari tadi duduk di depan Mila.

“Ada apa Awa?” perlahan Mak Wan berbisik. Rasanya Mila tak sedar pun Mak Wan bangkit meninggalkan kerusinya tadi. Asyik benar dia menikmati makanan di depannya. Bukan mi goreng dalam mangkuk tambah itu sahaja hampir licin dimakan oleh Mila, malahan kuih karipap lima ketul yang dalam piring depan dia tu pun tinggal baki seketul sahaja lagi. Banyak betul dia makan, patutlah dia tak sekurus Ana.

“Alang-alang dia dah datang sini, apa kata kita test skil dia?” Mak Awa beri cadangan bernas.

“Maksud Awa?”

“Kita suruh dia buat kerja-kerja yang Ana selalu lakukan. Biar dia tahu apa yang Ana buat di sini. Jangan dia ingat senang... elok juga dia datang menyerah diri. Lepas ni baru dia tahu langit tinggi ke rendah!” Mak Awa bisik ke telinga Mak Wan. Terangguk-angguk Mak Wan dengar cadangan bernas Mak Awa. Dua ibu jari dinaikkan dan ditunjuk ke arah Mak Awa.

Bergeliga juga kepala otak Mak Awa ni. Makin tua makin berisi, macam resmi kelapa, semakin tua semakin lemak santannya.

“Selalunya Ana dia tak makan kat sini. Ajaklah macam mana pun, mesti dia menolak nak makan. Err... agaknya emak Mila masak sarapan sedap-sedap kat rumah ya? Tu yang Ana dah tak nak bersarapan di sini?” Mak Wan sengaja cakap begini. Terkebil-kebil Mila dengar kata-kata Mak Wan. Rasa menyesal pun ada sebab dia beria-ia makan tadi. Sampai terkonteng-konteng kuih karipap nan sebiji tu dalam pinggan.

“Emak tak pernah masak sarapan pun.”

“Oh, kalau macam tu tentu Mila yang masak agaknya ya?”

“Kadang-kadang je...” perlahan Mila menjawab. Apa tidaknya, jawapan bohong tu. Mana pernah dia bangun awal di pagi hari? Selalunya dia bangun dah dekat-dekat waktu makan tengah hari. Jangan mimpilah dia nak buat sarapan.

“Erm, Mila pun dah habis makan, kan? Apa kata Mila kemaskan meja makan ni dulu. Basuh pinggan mangkuk dalam singki tu dan lepas tu sidai kain. Dah siap semua tu tolong Mak Awa siang ikan dan sayur di dapur.” Mak Wan beri arahan. Terkulat-kulat Mila nak ingat semua arahan daripada Mak Wan.


1 comment: