Monday, February 16, 2015

Satu Kali Lagi - Bab 9






Bab 9


“Abang Im, sibuk ke? Tentu abang dahaga, kan? Ni Mila bancuhkan air untuk abang!” Mila letak muk nan sebiji di sebelah laptop Imran. Kemudian tanpa disuruh dia tarik kerusi depan Imran dan duduk di situ.

“Terima kasih!” Imran panggung kepala dan ukir segaris senyum buat Mila. Daripada senyum bertukar kepada ketawa kecil. Mila dah buat gaya malu-malu. Sah Imran terpikat dengan kejelitaannya hari ini. Dia bermekap hari ini. Rambutnya yang panjang diikat ekor kuda. 

Memang ‘cantik luar biasa’ gadis di depannya ini. Imran buat analisis dalam hati. Kening nipis yang dipantis itu diukir dengan celak hitam pekat. Sudahlah garisannya tidak rata, kecil besar pula lukisannya. Gincu yang dipakai, merah mengalahkan buntut ayam. Pipi yang tembam itu dihiasi pemerah pipi yang memang ketara warnanya. Tapi yang buat dia senyum adalah warna hitam di dagu gadis itu. Sah dia pegang muka lepas bergelumang dengan tanah tadi. Alahai... sadisnya Imran rasa.

“Semalam Ana masak apa?” Imran mahu pancing Mila berbual-bual dengan dia.

“Masak lemak cili api ayam campur kentang, Sayur kacang buncis dengan udang. Ada ikan cencaru sumbat sambal kelapa dan sambal belacan beserta ulam-ulaman.” Dengan tidak berfikir panjang Mila menjawab. Imran senyum dalam hati, sah budak ni menipu dia. Semalam dia kata Ana demam teruk, ni boleh pula masak-memasak.

“Mila pandai masak?” tak payah tanya pun Imran dah tahu Mila ni jenis yang macam mana. Kalau dah siang ikan pun hancur, potong sayur pun ikut suka hati... masak? Hrm... memang taklah kut. Tapi sajalah, dia nak tengok sejauh mana akal Mila mahu kelentong dia.

“Abang Imran buat apa tu?” muncung ditala ke arah laptop di depan Imran. Tengok? Pandai tak dia? Ubah topik perbualan dan mengabaikan soalan Imran tadi.

“Saya baca e-mel, lepas tu buat kerja opis sama... erm, Mila pandai menaip?” Kali ni laju Mila menganggukkan kepala. Dia memang hebat menaip walaupun tidak pernah mengikuti sebarang latihan. Apa tidaknya, di rumah tu boleh dikatakan dia tak berenggang dengan laptop. Dah macam kembar dia dah laptop tu.

Senarai rakan Facebook dia pun dah melebihi 2 ribu orang walaupun dekat kampung ni kawan dia tak sampai pun sepuluh orang. Hebat tak? Dia letak gambar Nad Zainal sebagai DP. Mesti orang yang add dia sebagai rakan tu ingat dia secomel Nad Zainal. Tu yang berderu-deru nak jadi rakan alam maya dia tu agaknya.

“Ada pergi kelas komputer ke?”

“Taklah, belajar sendiri kat rumah...”

“Ada komputer kat rumah?” Imran buat muka hairan. 

“Ada, kemudahan internet pun ada. Erm... abang ada akaun Facebook? Twitter ataupun Instagram tak? Bolehlah add Mila jadi kawan ataupun follower...” Imran macam nak nganga je kat sini.

Kalau kat rumah ada kemudahan internet kenapa Ana pucat birat masa dia bukakan akaun laman sosial untuknya tempoh hari? Ke Ana memang dah ada akaun Facebook?

“Aaaa... saya tak ada sebarang akaun laman sosial. Busy dengan kerja, tak sempat nak bersosial!” malas Imran nak mengaku dia ada semua akaun laman sosial tu.

“Ala... kalau tak; boleh Mila add abang jadi kawan...”

“Erm, Mila tulis alamat e-mel dekat sini. Nanti kalau saya tergerak hati nak buka akaun laman sosial saya add Mila jadi kawan...” Imran hulur pen dan buku notanya kepada Mila.

“Ana ada akaun Facebook tak?” 

“Tak! Mak tak bagi dia guna internet. Nanti dia panjang akal!” Mila cakap dengan jujur.

“Oh, selama ni dia pendek akal ke?” 

“Taklah... emak takut dia ambil keputusan nak tinggalkan rumah. Nanti siapa nak buat semua kerja-kerja kat rumah tu kalau Ana tak ada. Ini pun Ana kena pergi tolong Kak Midah buat kuih bahulu kat bengkel dia tu. Padan muka dia, memang muka dia dengan bahulu tu lebih kurang aje!” Mila cakap sambil mencebik.  Terlupa dia yang semalam dia mengatakan Ana demam teruk.

“Mana alamat e-mel tu, saya nak tengok!” Imran cepat-cepat ubah topik perbualan. Dia tidak mahu Mila terperasan yang dia dah terlepas cakap.

Oooo... Ana kerja kat bengkel Kak Midah ya? Siapa pula Kak Midah ni dan di mana pula bengkelnya? Mak Wan kena bantu Imran kali ni!



“Berapa lama lagi Si Imran tu MC Zarul? Teruk sangat ke sakit tangan dia tu? Lama sangat dia tinggalkan opis. Papa takut dia dah tak minat bekerja dengan kita. Entah-entah dia dah kerja dengan orang lain, tak?” Datuk Zamanhuri bertanya kepada anaknya Zarul, perihal pekerja mereka yang bernama Imran Hakimi itu.

Imran Hakimi sangat cekap dan komited dengan tugasnya. Sudah lebih dua tahun anak muda itu bekerja dengan syarikat mereka. Sungguh dia berkenan dengan anak muda tersebut. Lebih-lebih lagi Imran banyak membantu Zaara Aishaa satu-satunya anak perempuan dia ketika mereka sama-sama melanjutkan pelajaran di UK dahulu.

Sudah lebih seminggu dia tidak lihat kelibat Imran di pejabat. Rasa susah hati pula dibuatnya. Risau jika Imran berpaling tadah dan bekerja dengan pesaing mereka. Kalau sungguh begitu, bukan setakat terduduk lagi dah, mahu terlentang terus Datuk Zamanhuri dibuatnya. Pekerja harapan tu!

Zarul lap mulut dengan tisu. Kuah black pepper yang menyaluti steak yang dimakan mengotori tepi bibirnya. Dia dengan papanya sedang enak menikmati makan tengah hari di sebuah restoran makanan barat.

“Pagi tadi Im ada called, dia kata dapat MC lagi seminggu. Dia ada di Kuantan sekarang ni. Di rumah emak saudara dia. Alang-alang dia kat sana Zarul ingat nak suruh dia pergi site surveylah papa... untuk projek mega bagi kawasan industri di Tanjung Agas tu...” Zarul sudah dua tiga hari terfikirkan perkara itu. Cuma dia belum membuka mulut memberitahu papanya. 

“Eh, bagus sangatlah kalau macam tu. Bergeliga juga otak kamu ni Zarul...! Tapi, mahu ke Imran tu? Bukankah dia sedang dalam MC?” Datuk Zamanhuri pusatkan pandangan kepada anak lelaki harapannya. Zarul yang bijak, berkebolehan dan sangat berdaya saing dalam menjalankan urusan syarikat. Cuma itulah, Zarul ni panas baran orangnya. Pantang silap sikit, mulalah dia nak buka langkah silat. Sikap buruk itulah yang buat Datuk Zamanhuri teragak-agak mahu menyerahkan seluruh operasi syarikat ke tangannya.

“Dia tu nama je MC pa... workaholic tu, hari-hari je dia e-mel progres kerja dia. Hebat tak hebat la, boleh kerja melalui online tu. Zaman serba canggih pa... segalanya di hujung jari!” tersengih Zarul mengenangkan Imran yang gila bekerja. Kalau tak dilarang untuk datang bekerja pasti dia akan muncul di pejabat walaupun dia sedang dalam MC. Tapi hairan juga, dua tiga hari ni Imran tak ada pula merungut kata bosan dan nak cepat balik bekerja. Ada apa-apa ke yang terjadi di sana? Gusar juga hati Zarul mengenangkan tentang Imran ni. Patutkah dia menyusul Imran di sana? Sekali dengan memantau tapak projek kawasan industri itu nanti?



Petang itu Imran nekad mahu mengintip Ana di bengkel Kak Midah. Dia sudah berbual dengan Mak Wan tentang bengkel Kak Midah sewaktu mereka makan tengah hari tadi. Dia siap bertanya lokasi dan jam berapa bengkel itu dibuka dan ditutup. Alasannya dia teringin mahu makan bahulu dan rempeyek yang merupakan antara produk keluaran bengkel Kak Midah melalui Industri Kecil Sederhana di kampung ini.

Mak Wan hendak ikut tadi tapi dia melarang. Dia mahu ke bandar berjumpa kawan katanya. Kalau Mak Wan ikut, rosaklah rancangan dia. Mak Wan mana tahu Ana bekerja di situ. 

“Mak Wan, Im keluar dulu ya!” Imran sarung sandal Timberland ke kaki. 

“Nak jumpa kawan ke nak mengintip Si Ana?” erkkk... kaki terasa digam ke tanah. Seakan tak mampu hendak digerakkan.

Mak Wan senyum sambil pandang Mak Awa. Mereka sedang duduk-duduk di beranda depan rumah. Rumah dua tingkat itu ada beranda di kedua-dua tingkat. Penghuninya lebih selesa mengambil angin di luar daripada duduk terperuk sahaja di dalam rumah. Mak Wan memang suka memandang kehijauan pokok-pokok di luar. Dapat menyegarkan mata tuanya. Lebih seronok lagi apabila pokok-pokok bunga ros yang ditanam itu mula mengeluarkan bunga yang pelbagai warna. Puas rasa hatinya.

“Bukan ke Ana demam? Macam mana pula Im nak mengintip dia?” Imran beralasan. 

“Bak kata orang, kalau dah rindu tu tak kira la... tak dapat tengok orangnya, dapat tengok bumbung rumahnya pun jadilah...” meleret je suara Mak Wan mengusik. Mujur juga Imran sudah berpaling dan membelakangi kedua-dua wanita warga emas tersebut. Jika tidak pasti mereka nampak jelas mukanya yang merah menahan malu, akibat digiat sebentar tadi.



Hiii... malunya apabila dia terkenangkan usikan Mak Wan tadi. Tapi dalam malu-malu tu direalisasikan juga hasrat dia mahu mengintip Ana di bengkel tu. Jauh juga bengkel ini dari rumah Mak Wan. Terletak berhampiran jalan keluar. Berhampiran pula dengan deretan kedai minum, kedai runcit dan macam-macam kedai lagi. Salah sebuahnya adalah kedai runcit yang dimiliki oleh Mak Bedah dan Pak Leman tu.

2 comments: