Wednesday, February 11, 2015

Satu Kali Lagi - Bab 5






Bab 5

“Mak Wan rasa macam nak je jumpa dengan Aminudin tu. Ceritakan perangai sebenar isteri dia tu. Nak juga nasihatkan Aminudin tu supaya sekolahkan Ana tu ke peringkat tertinggi. Sayang, Ana tu rajin belajar dan pandai budaknya. Kalau Aminudin tu tak ada duit, Mak Wan boleh bagi pinjam duit.” Bersungguh nampaknya Mak Wan hendak membantu Ana. Sah lagi nyata, Mak Wan ambil berat dan sayangkan Ana.

“Ayah Ana tu kerja apa Mak Wan?” makan sambil berbual-bual, tak sedar pun habis semangkuk bubur jagung dimakan. Sedapnya bubur jagung ni, adakah sebab Mak Awa yang pandai memasak bubur ataupun sebab gadis pingitan yang merincih jagung itu tadi? 

“Ayah dia tu pemandu lori, jarang berada di rumah. Kadang-kadang dia buat juga kerja-kerja kampung macam orang lain kalau ada masa. Dia orang tu bukanlah susah sangat, cuma Kartina tu... suka menyusahkan keadaan. Sejak Aminudin berkahwin dengan Kartina tu, tak pernah senang hidup dia Mak Wan tengok. Berhempas pulas Aminudin tu bekerja sebab nak bagi kesenangan kepada keluarga, tapi yang bersenang-lenang di rumah tu, dua beranak itulah. Mak Wan rasa kalau Aminudin tak kahwin dengan Kartina tu pasti hidup dia dengan Ana lebih senang, lebih terjamin!” tu dia... panjang lebar penerangan Mak Wan. Kalau tak mengenangkan Mak Wan ni dah berumur nak je Imran tuduh dia ada hati dengan ayah Si Ana tu!

Imran tambah lagi dua senduk bubur jagung ke dalam mangkuk. Dia tengok mangkuk bubur jagung Mak Wan masih penuh. Aikk... emosi sangat ke sampai tak lalu nak makan?

“Yang lebih teruk lagi kan Im, khabarnya minggu depan Mak Bedah nak merisik Si Ana tu!” 

What!” Imran langsung tersedak air teh ‘o’ yang baru diminum seteguk. Bersembur air teh ‘o’ dalam mulut. Langsung dia bangun dan terbatuk-batuk di kekisi beranda.

“Kamu ni Im, dengar Si Ana tu nak dirisik beria-ia tersedak ya. Ada apa-apa ke?” Mak Wan menyerkap jarang.

Ishk... apa Mak Wan ni. Im terperanjat ajelah...”  Imran masih terbatuk-batuk kecil. Seakan terasa air teh ‘o’ itu memasuki rongga hidungnya tadi. Berair mata jugalah dibuatnya.

“Mak Bedah tu merisik Ana untuk siapa?” Imran duduk balik di kerusinya tadi. 

“Untuk anak dia, Rumaizi yang jadi pegawai tentera di Sabah tu...”

“Rumaizi? Mizi?” Imran kenal Mak Bedah dan suaminya Pak Leman tu kerana dia pernah beberapa kali ke kedai runcit mereka. Dia tahu Mak Bedah dan Pak Leman tu ada tiga orang anak lelaki. Mizi ni mungkin anaknya yang sulung. Kalau tak salah Imran, Mizi itu sebaya dengannya.

“Yelah, budak Mizi yang handsome, tegap dan berkulit hitam manis tu... Im kenal dia, kan?” Amboi Mak Wan, siap puji Mizi lagi tu. Handsome sangat ke? 

“Kenal gitu-gitu je la Mak Wan. Tapi, bila masa dia dengan Ana bercinta? Budak-budak zaman sekarang ni memang pelik. Di bangku sekolah lagi dah sibuk nak bercinta!” Imran mencebik. Ingatkan Ana ni stok-stok dara pingitan. Rupanya nan ado!

“Bila masa pulak Ana dengan Mizi bercinta? Mak Wan tak ada cakap macam tu pun?”

“Oooo...tak ada cakap eh?” biru birat rasa muka Imran masa ni. Itulah, cakap ikut suka hati lagi, kan dah malu?!

“Mak Wan cuma kata Mak Bedah nak merisik Ana untuk Mizi. Hai, entahlah... Ana tu Mak Wan yakin dia tak ada boipren, tapi Si Mizi tu... ishk, takkanlah tak ada sesiapa di hati dia. Jangan-jangan dia dah ada pilihan hati. Masa belajar di universiti dulu, pernah juga dia bawa kawan perempuan balik. Tapi... entahlah. Naik risau pulak Mak Wan ni kalau terkenangkan Si Ana tu. Kalaulah Mak Wan ada anak lelaki, Mak Wan kahwinkan dia dengan Ana!” sampai macam tu sekali harapan Mak Wan. Nampak benar dia mahu melindungi Ana.

Siapa Ana ni? Istimewa benar nampaknya gadis itu di  mata Mak Wan. Imran menggaru-garu dagunya yang gatal dengan tangan kiri. Tangan kanannya ini, bilalah nak berfungsi macam biasa? Hai, baru Allah SWT uji dengan kesakitan yang sedikit dia dah mengeluh. Bukankah sakit itu menjadi kifarah dosa-dosa kecil Imran? Bertabahlah.

“Susah-susah sangat kamu ajelah kahwin dengan Ana tu Im. Senang hati Mak Wan...!” rasa nak bersembur bubur jagung dalam mulut Imran sebaik Mak Wan habis bercakap. Cepat-cepat telapak tangan kiri melekap di mulut. Dia menggelengkan kepala.

“Tak nak? Apa kata orang sekarang... bukan taste? Gitu?” Mak Wan jegil mata pandang wajah Imran. Inilah satu-satunya anak saudara yang rapat dengannya. Imran rajin menelefon dan bertanya khabar walaupun ketika dia jauh di Tanah Ratu menyambung pengajiannya dahulu. Papa Imran adalah adik Mak Wan dan mereka hanya dua beradik sahaja.

“Bukan taste saya... he he he...” Imran gelak kecil. Memang bukan taste dialah budak tak cukup umur tu. Gila ke dia nak kahwin dengan budak lepasan SPM?


Pagi itu lepas je bersarapan Imran terus duduk di beranda tingkat atas. Dari atas sini senang untuk dia nampak sekiranya Ana datang. Menurut Mak Wan kebiasaannya Ana akan datang sekitar jam 7:30 pagi. Tapi sekarang ni jarum jam sudahpun menginjak ke angka 8 pagi. Kelibat Ana masih belum kelihatan. Imran sudah semakin resah.

Penantian adalah suatu penyiksaan. Dan buat pertama kalinya Imran bersetuju dengan kata-kata tersebut. Menanti Ana datang seakan menanti buah yang tak gugur.

Dia hampir-hampir berputus asa setelah menunggu hampir dua jam di beranda itu. Cahaya matahari pun sudah mula menyinar dengan terik. Mujurlah ruang beranda ini luas, jadi cahaya matahari tidak memasuki ruang di mana Imran sedang duduk.

Imran bangun dan berkira-kira untuk masuk ke dalam apabila dia nampak kelibat orang yang ditunggu datang dari arah kiri rumah.

“Ana! Lama abang tunggu! Ingatkan Ana tak datang!” dengan terujanya Imran menjerit dari tingkat atas. Langsung terhenti langkah Ana. Pantas gadis itu mendongak dan memandang wajah Imran dengan sedikit hairan.

Mengapa pula Imran menunggu kedatangannya? Lagi satu, dia dengar Imran membahasakan dirinya ‘abang’ sebentar tadi. Err... Ana rasa janggal. Sangat janggal!

“Ana! Mari masuk dulu. Ada orang tu dari tadi lagi dok panjang leher menunggu. Sikit lagi nak jadi zirafah. Sabar jelah...!” aduh, Imran dengar kata-kata berbaur perli-perlian daripada Mak Wan. Malunya dia rasa. Tak sangka Mak Wan perhatikan gelagat dia rupanya.

Tapi dah alang-alang malu, baik dia minta Ana terus naik atas je. Takkan jadi masalah pula kalau Ana tidak membantu kerja-kerja rumah seperti kebiasaannya. Mak Awa tu walaupun sudah berumur namun dia masih lagi kuat dan sihat. Lagipun dia nampak Mak Awa dah siap menyidai kain pun pagi tadi. 

“Mak Wan! Hari ni Im nak pinjam Ana!” Imran laung kepada Mak Wan yang berdiri di luar pintu rumah, di tingkat bawah.

Imran senyum ketika nampak emak saudaranya mencebik kepada dia. Senyum itu menjadi bertambah-tambah lebar apabila lima minit kemudian Ana sudah terpacak di depan dia.


7 comments:

  1. Replies
    1. Baby Mio... terima kasih.... nanti saya pos lagi ya...

      Delete
  2. Saya baca marathon terus besttt

    *sudi2 singgah blog saya hihi zianaeunos.blogspot.com

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih Sis Ziana... ohhh... dah jengah blog sis tu... (Y)

      Delete
  3. Wahhhh... penulis baru ke? Permulaan yang baik... bab ke bab makin menarik... teruskan menulis... tak sabar nak baca entry seterusnya...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih sudi komen Miss Anonymous... teruskan membaca ya...

      Delete