Thursday, February 12, 2015

Satu Kali Lagi - Bab 8






Bab 8

“Siapa tu Mak Wan?” Imran menjenguk dari tingkap di bahagian dapur ke arah gadis gempal yang sedang terkial-kial menyidai kain. Dia sudah dapat meneka siapa gerangan si gadis gempal itu, cuma mahu Mak Wan mengesahkannya sahaja.

“Mila, adik beradik tiri Si Ana...” Hrm, Imran sengih... betul pun tekaan dia.

“Dia ganti Ana sebab Ana demam katanya. Apa kamu buat dekat Ana semalam sampai dia demam?” Zasss... Imran berpaling ke arah Mak Wan yang sedang berdiri di sebelahnya. Mereka bertiga termasuklah Mak Awa sedang jadi mandur kepada Mila. Mengintai anak dara itu menyidai pakaian.

“Mana ada Im buat apa-apa? Pegang tangan pun tak ada, Im cuma pandang dia je... itu pun dia selalu mengelak daripada pandang mata Im...”

Mak Wan tergelak. Imran ni walaupun sudah berumur 26 tahun tapi masih bersikap seperti budak-budak kadang kala. Senang sangat kalau nak trick dia ni. Mudah terpedaya dengan kata-kata, jenis senang digertak.

“Mila dah siap sidai kain, Mila basuh pinggan ya?” suara yang selalunya menjerit ala-ala nyanyian soprano itu dilunakkan dengan bersungguh-sungguh. Apa tidaknya, jejaka yang dia nampak menghantar Ana balik semalam ada depan mata. Handsomenya dia, walaupun hanya berseluar trek dan baju t-shirt putih. Tak berkelip mata Mila memandang Imran.

“Ha, Mila tolong cuci semua sampai singki ni kosong ya... Mak Wan dengan Mak Awa nak pergi tanam bunga sekejap!” Mak Wan menarik Mak Awa keluar. Imran yang ikut melangkahkan kaki keluar berhenti sebentar di pintu dapur.

“Mila... teruk ke Ana demam?” terujanya Mila apabila Imran menyebut namanya. Pantas dia berpaling walaupun span bersabun tergenggam elok di tangan kanannya.

“Erm... taklah teruk sangat...”

“Kalau macam tu esok tentu dia dah boleh datang, kan?”

“Eh, sebenarnya teruk juga demam Ana tu. Dia... dia tak boleh bangun, mungkin seminggu dua nanti baiklah tu...” 

“Lamanya, demam apa tu? Demam denggi ke? Tak bawa dia ke klinik?” Imran bercekak pinggang.

“Emak nak bawa dia ke klinik, tapi tahulah Ana tu... degil nak mampus!” Mila tutup mulut dengan tangan sebaik dia menyebut perkataan mampus itu tadi. Opsss... terlebih sudah. Malang bagi Mila sebab dia tutup mulut dengan span yang bersabun tu.  Cepat-cepat dia sapu buih yang terdapat di bibirnya dengan tangan kiri. Kurang asam betullah, buat malu keturunan je. Dia nampak Imran pandang tepi dan senyum. Malunya.

“Beritahu Ana, petang nanti saya ambil dia dan bawa ke klinik.” Imran berlalu setelah menghabiskan kata-katanya. Mila hempas span dalam singki. Dia rasa nak menjerit sebab singki tu penuh sangat-sangat. Apa Mak Awa buat kat rumah ni? bukankah dia orang gaji di sini? Tak sangka pulak, ada orang gaji yang memerlukan pembantu. Haish!



“Mak, oh mak! Esok orang dah tak nak pergi rumah Mak Wan lagi dah. Rumah tu macam puaka tau tak!” Mila membentak sebaik dia menjejakkan kaki ke rumah. Hampir jam satu tengah hari barulah dia dapat menyelesaikan segala kerja-kerja yang diberikan kepadanya.

Dia tak sangka lelaki yang berwajah kacak itu rupanya bermulut longkang. Boleh dia kompelin pinggan mangkuk yang dibasuhnya tak bersih? Masih ada kesan kotoran dan minyak katanya.

Mak Wan pun menambah api dalam minyak. Kompelin kain yang disidainya itu tidak kemas, senget benget katanya. Dia tak tahu pulak menyidai kain pun kena ada tahap kekemasan. Bukan asalkan sidai, dah kering dilipat kemas-kemas cukuplah kan?

“Dah kamu tu tak pandai buat kerja rumah, dikata pulak rumah tu berpuaka! Itulah, dekat rumah sendiri pemalas mengalahkan ular sawa kekenyangan! Ni apa hal yang bau hanyir sangat ni?Jatuh dalam kolam ikan ke apa?” Puan Kartina picit hidung. Tak sanggup nak mencium bau hanyir di badan anaknya ini.

“Itulah, Mila kena siang ikan punyalah banyak. Dia orang tu manusia ke beruang agaknya. Tu yang orang balik lambat! Penatlah mak, esok tak nak pergi dah. Mak suruh Ana pergi sana!” memang mulanya tadi dia menyiang ikan. Lepas tu Mak Awa terjerit sebab ikan yang dia siang awal-awal tu dah hampir hancur. Tak ada rupa ikan dah. Jadi Mak Awa ambil alih kerja menyiang ikan dan dia cuma bantu Mak Awa mencuci ikan-ikan tu semua. Penatnya dia rasa.

“Habis kamu mengalahlah ni? Esok tak mahu pergi dah?” Puan Kartina memang dah agak. Mila ni bukannya boleh diharap apa satu pun. Makan, tidur, tengok televisyen dan berehat. Itu ajelah yang Mila pandai. 

Bukan dia tak tahu, Mila ingat dia boleh naik sekereta dengan anak buah Mak Wan yang menghantar Ana pulang semalam. Bukan main dia soal Ana macam-macam semalam. Siap larang Ana ke rumah Mak Wan lagi.

“Ikutkan hati memanglah nak mengalah mak. Tapi Mila dah tercakap yang Ana demam teruk. Ishk... kalau esok Ana pergi ke sana, tak ke Abang Im tu tau yang Mila berbohong? Mak tau, Abang Im tu siap pesan, dia nak datang sini dan bawa Ana ke klinik petang ni!” Mila hentak kaki ke lantai. Muka pun dah mengalahkan cencorot muncungnya.

“Ana mana mak?” Mila melingas pandang sekeliling. Tak nampak pun muka seterunya itu. Membuta ke apa? 

“Lepas masak makan tengah hari tadi dia ke bengkel Kak Midah. Pekerja tak ramai hari ni, jadi Kak Midah minta Ana tolong...”

“Mak memang tak kasi can Ana tu berehat-rehat di rumah ya? Ada je peluang untuk mak buat duit melalui dia, kan? Tapi kan mak, kalau mak benarkan dia kerja kat bandar tu lagi masyukkk... asyik buat kerja kat dalam kampung ni berapa sen sangatlah gaji dia tu mak? Nak beli gelang seurat pun tak lepas!”

“Kalau mak lepaskan dia bekerja di bandar tu nanti panjanglah langkah dia. Ingat Ana tu bodoh macam kamu? Kalau dibuatnya dia ambil keputusan nak duduk di rumah sewa dan tak balik-balik dah ke mari siapa nak buat semua kerja rumah ni? kamu?” Puan Kartina jegil mata ke arah anaknya. Mila ni pun satu, lembab sangat kepala otak dia nak berfikir. Nak kata kurang khasiat, macam-macam makanan dia bedal. Kadang-kadang dia rasa membela Mila ni macam membela haiwan peliharaan la pulak. Macam bela ular sawalah senang cakap!

Terkebil-kebil Mila apabila dilabelkan sebagai bodoh oleh emaknya sendiri. Bukan salah dia keputusan SPM tu yang tak memihak kepadanya. Dia dah jawab semua soalan sehabis baik. Bahkan masa mata pelajaran Sejarah dan Pendidikan Islam dia yang paling rajin angkat tangan nak minta kertas tambahan. Banyak yang dikarangnya ketika menjawab soalan subjektif. Dah bukan rezeki dia nak cemerlang macam Ana, apa nak buat? Emak dia ni memang tak tahu bersyukur!



Dua hari dah Ana tak datang ke rumah Mak Wan. Entah kenapa, ada rasa rindu yang bertandang dalam hati Imran. Digagahkan juga dirinya menyiapkan tugasan, dihadapnya juga laptop itu dengan separuh hati. Kain anduh yang menampung tangan kanannya dibuka. Dia mahu buat latihan fisioterapi jari-jemari. Menggerakkannya atas laptop pun jadilah.

Mila sedang ‘didera’ oleh Mak Wan di halaman rumah. Disuruh menggembur tanah dan di masukkan ke dalam polibeg. Mak Wan bercadang mahu menanam benih sayur-sayuran dan memindahkan anak-anak pokok bunga ros yang sudah mula bercambah dalam pasu.

Habis comot muka dan juga tangan Mila. Seumur hidup belum pernah dia bergelumang dengan tanah hitam macam ni. Memang melampau betullah Mak Wan ni, rasa nak je Mila tanam Mak Wan ni dalam pasu, kalaulah muat. 

Tapi dia terpaksa berlagak ayu, ala-ala perempuan Melayu Terakhir. Manakan tidak, dia tahu Imran sedang berada di beranda tingkat atas tu. Bukan main sombong nampaknya lelaki itu, tiap kali Mila menjeling dia asyik memakukan pandangan ke arah skrin laptop. Jangan-jangan dia sedang menonton Drama Korea tak? 

Ishk... kalaulah dia tak gatal-gatal buka mulut nak ganti tempat Ana, tentu dia boleh lepak-lepak depan televisyen dan menonton Drama Korea jugak.

Tapi tak apalah, misi dia untuk mendekati Imran harus diteruskan. Dia teringin nak ada teman lelaki yang seperti Imran. Tough, handsome dan bergaya. Tinggal pula di bandar, ada kereta besar. Mila yakin Imran ada kerjaya yang hebat sebab dia dengar Imran itu belajar di luar negara dahulu. Orang macam itulah yang hendak dijadikan suami. Bukannya macam lelaki-lelaki yang tak lulus SPM macam dia ni. Yang kerjanya menghabiskan beras di rumah.

“Jangan isi penuh-penuh sangat Mila, isi separuh aje tanah tu. Polibeg ni besar, tak cukup tanah pulak nanti kalau banyak sangat isinya.” Mak Wan tegur Mila yang mengisi tanah ke dalam polibeg yang gayanya macam sumbat kekabu dalam sarung untuk dibuat bantal.

Letih Mak Wan dengan Mila ni. Semua yang dia buat serba tak kena. Semuanya harus ditegur dan diajar. Dah macam mengajar budak tadika pun ada Mak Wan rasa. 

“Dahlah Mila, pergi basuh tangan. Mila minta Mak Awa buatkan Imran air teh ‘o’. Kesian Mak Wan tengok, tekun je dia bekerja dari tadi.” Cukuplah dua jam dia menjadi ‘pengajar’ Mila pagi ini.


Siap cuci tangan dia capai sebuah muk. Mak Awa tak kelihatan di dapur. Biarlah Mila yang bancuhkan ‘Abang Im’ air. Mana tahu berkat air tangannya, Abang Imran akan melekat hatinya kepada dia. kan?

4 comments:

  1. Replies
    1. Hehe... nanti saya pos lagi ya... terima kasih Baby Mio...

      Delete
  2. Perghhh... marathon saya baca. Erm... tahniah buat penulis. Permulaan yang menarik, makin lama makin menarik. Tak perlu sweet overdosed... masih seronok untuk dibaca. Gaya bahasa dan penulisan yang santai dan senang difahami menjadikan ianya lebih menarik lagi... teruskan... sambung ya...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih sudi baca secara marathon Miss Anonymous... teruskan membaca ya...

      Delete