Bab 8
“Siapa tu Mak Wan?”
Imran menjenguk dari tingkap di bahagian dapur ke arah gadis gempal yang sedang
terkial-kial menyidai kain. Dia sudah dapat meneka siapa gerangan si gadis
gempal itu, cuma mahu Mak Wan mengesahkannya sahaja.
“Mila, adik beradik
tiri Si Ana...” Hrm, Imran sengih... betul pun tekaan dia.
“Dia ganti Ana sebab
Ana demam katanya. Apa kamu buat dekat Ana semalam sampai dia demam?” Zasss...
Imran berpaling ke arah Mak Wan yang sedang berdiri di sebelahnya. Mereka
bertiga termasuklah Mak Awa sedang jadi mandur kepada Mila. Mengintai anak dara
itu menyidai pakaian.
“Mana ada Im buat
apa-apa? Pegang tangan pun tak ada, Im cuma pandang dia je... itu pun dia selalu mengelak daripada pandang mata Im...”
Mak Wan tergelak.
Imran ni walaupun sudah berumur 26 tahun tapi masih bersikap seperti
budak-budak kadang kala. Senang sangat kalau nak trick dia ni. Mudah terpedaya dengan kata-kata, jenis senang
digertak.
“Mila dah siap sidai
kain, Mila basuh pinggan ya?” suara yang selalunya menjerit ala-ala nyanyian
soprano itu dilunakkan dengan bersungguh-sungguh. Apa tidaknya, jejaka yang dia
nampak menghantar Ana balik semalam ada depan mata. Handsomenya dia, walaupun hanya berseluar trek dan baju t-shirt
putih. Tak berkelip mata Mila memandang Imran.
“Ha, Mila tolong
cuci semua sampai singki ni kosong ya... Mak Wan dengan Mak Awa nak pergi tanam
bunga sekejap!” Mak Wan menarik Mak Awa keluar. Imran yang ikut melangkahkan
kaki keluar berhenti sebentar di pintu dapur.
“Mila... teruk ke
Ana demam?” terujanya Mila apabila Imran menyebut namanya. Pantas dia berpaling
walaupun span bersabun tergenggam elok di tangan kanannya.
“Erm... taklah teruk
sangat...”
“Kalau macam tu esok
tentu dia dah boleh datang, kan?”
“Eh, sebenarnya
teruk juga demam Ana tu. Dia... dia tak boleh bangun, mungkin seminggu dua
nanti baiklah tu...”
“Lamanya, demam apa
tu? Demam denggi ke? Tak bawa dia ke klinik?” Imran bercekak pinggang.
“Emak nak bawa dia
ke klinik, tapi tahulah Ana tu... degil nak mampus!” Mila tutup mulut dengan tangan
sebaik dia menyebut perkataan mampus itu tadi. Opsss... terlebih sudah. Malang
bagi Mila sebab dia tutup mulut dengan span yang bersabun tu. Cepat-cepat dia sapu buih yang terdapat di
bibirnya dengan tangan kiri. Kurang asam betullah, buat malu keturunan je. Dia nampak Imran pandang tepi dan
senyum. Malunya.
“Beritahu Ana,
petang nanti saya ambil dia dan bawa ke klinik.” Imran berlalu setelah
menghabiskan kata-katanya. Mila hempas span dalam singki. Dia rasa nak menjerit
sebab singki tu penuh sangat-sangat. Apa Mak Awa buat kat rumah ni? bukankah
dia orang gaji di sini? Tak sangka pulak,
ada orang gaji yang memerlukan pembantu. Haish!
“Mak, oh mak! Esok
orang dah tak nak pergi rumah Mak Wan lagi dah. Rumah tu macam puaka tau tak!”
Mila membentak sebaik dia menjejakkan kaki ke rumah. Hampir jam satu tengah
hari barulah dia dapat menyelesaikan segala kerja-kerja yang diberikan
kepadanya.
Dia tak sangka
lelaki yang berwajah kacak itu rupanya bermulut longkang. Boleh dia kompelin
pinggan mangkuk yang dibasuhnya tak bersih? Masih ada kesan kotoran dan minyak
katanya.
Mak Wan pun menambah
api dalam minyak. Kompelin kain yang disidainya itu tidak kemas, senget benget
katanya. Dia tak tahu pulak menyidai
kain pun kena ada tahap kekemasan. Bukan asalkan sidai, dah kering dilipat
kemas-kemas cukuplah kan?
“Dah kamu tu tak
pandai buat kerja rumah, dikata pulak
rumah tu berpuaka! Itulah, dekat rumah sendiri pemalas mengalahkan ular sawa
kekenyangan! Ni apa hal yang bau hanyir sangat ni?Jatuh dalam kolam ikan ke
apa?” Puan Kartina picit hidung. Tak sanggup nak mencium bau hanyir di badan
anaknya ini.
“Itulah, Mila kena
siang ikan punyalah banyak. Dia orang tu manusia ke beruang agaknya. Tu yang
orang balik lambat! Penatlah mak, esok tak nak pergi dah. Mak suruh Ana pergi
sana!” memang mulanya tadi dia menyiang ikan. Lepas tu Mak Awa terjerit sebab
ikan yang dia siang awal-awal tu dah hampir hancur. Tak ada rupa ikan dah. Jadi
Mak Awa ambil alih kerja menyiang ikan dan dia cuma bantu Mak Awa mencuci
ikan-ikan tu semua. Penatnya dia rasa.
“Habis kamu mengalahlah
ni? Esok tak mahu pergi dah?” Puan Kartina memang dah agak. Mila ni bukannya
boleh diharap apa satu pun. Makan, tidur, tengok televisyen dan berehat. Itu
ajelah yang Mila pandai.
Bukan dia tak tahu,
Mila ingat dia boleh naik sekereta dengan anak buah Mak Wan yang menghantar Ana
pulang semalam. Bukan main dia soal Ana macam-macam semalam. Siap larang Ana ke
rumah Mak Wan lagi.
“Ikutkan hati
memanglah nak mengalah mak. Tapi Mila dah tercakap yang Ana demam teruk.
Ishk... kalau esok Ana pergi ke sana, tak ke Abang Im tu tau yang Mila
berbohong? Mak tau, Abang Im tu siap pesan, dia nak datang sini dan bawa Ana ke
klinik petang ni!” Mila hentak kaki ke lantai. Muka pun dah mengalahkan
cencorot muncungnya.
“Ana mana mak?” Mila
melingas pandang sekeliling. Tak nampak pun muka seterunya itu. Membuta ke apa?
“Lepas masak makan
tengah hari tadi dia ke bengkel Kak Midah. Pekerja tak ramai hari ni, jadi Kak
Midah minta Ana tolong...”
“Mak memang tak kasi
can Ana tu berehat-rehat di rumah ya? Ada je
peluang untuk mak buat duit melalui dia, kan? Tapi kan mak, kalau mak benarkan
dia kerja kat bandar tu lagi masyukkk... asyik buat kerja kat dalam kampung ni
berapa sen sangatlah gaji dia tu mak? Nak beli gelang seurat pun tak lepas!”
“Kalau mak lepaskan
dia bekerja di bandar tu nanti panjanglah langkah dia. Ingat Ana tu bodoh macam
kamu? Kalau dibuatnya dia ambil keputusan nak duduk di rumah sewa dan tak
balik-balik dah ke mari siapa nak buat semua kerja rumah ni? kamu?” Puan
Kartina jegil mata ke arah anaknya. Mila ni pun satu, lembab sangat kepala otak
dia nak berfikir. Nak kata kurang khasiat, macam-macam makanan dia bedal.
Kadang-kadang dia rasa membela Mila ni macam membela haiwan peliharaan la pulak. Macam bela ular sawalah senang
cakap!
Terkebil-kebil Mila
apabila dilabelkan sebagai bodoh oleh emaknya sendiri. Bukan salah dia
keputusan SPM tu yang tak memihak kepadanya. Dia dah jawab semua soalan sehabis
baik. Bahkan masa mata pelajaran Sejarah dan Pendidikan Islam dia yang paling
rajin angkat tangan nak minta kertas tambahan. Banyak yang dikarangnya ketika
menjawab soalan subjektif. Dah bukan rezeki dia nak cemerlang macam Ana, apa
nak buat? Emak dia ni memang tak tahu bersyukur!
Dua hari dah Ana tak
datang ke rumah Mak Wan. Entah kenapa, ada rasa rindu yang bertandang dalam
hati Imran. Digagahkan juga dirinya menyiapkan tugasan, dihadapnya juga laptop
itu dengan separuh hati. Kain anduh yang menampung tangan kanannya dibuka. Dia
mahu buat latihan fisioterapi jari-jemari. Menggerakkannya atas laptop pun
jadilah.
Mila sedang ‘didera’
oleh Mak Wan di halaman rumah. Disuruh menggembur tanah dan di masukkan ke
dalam polibeg. Mak Wan bercadang mahu menanam benih sayur-sayuran dan
memindahkan anak-anak pokok bunga ros yang sudah mula bercambah dalam pasu.
Habis comot muka dan
juga tangan Mila. Seumur hidup belum pernah dia bergelumang dengan tanah hitam
macam ni. Memang melampau betullah Mak Wan ni, rasa nak je Mila tanam Mak Wan ni dalam pasu, kalaulah muat.
Tapi dia terpaksa
berlagak ayu, ala-ala perempuan Melayu Terakhir. Manakan tidak, dia tahu Imran
sedang berada di beranda tingkat atas tu. Bukan main sombong nampaknya lelaki
itu, tiap kali Mila menjeling dia asyik memakukan pandangan ke arah skrin
laptop. Jangan-jangan dia sedang menonton Drama Korea tak?
Ishk... kalaulah dia
tak gatal-gatal buka mulut nak ganti tempat Ana, tentu dia boleh lepak-lepak
depan televisyen dan menonton Drama Korea jugak.
Tapi tak apalah,
misi dia untuk mendekati Imran harus diteruskan. Dia teringin nak ada teman
lelaki yang seperti Imran. Tough,
handsome dan bergaya. Tinggal pula di bandar, ada kereta besar. Mila yakin
Imran ada kerjaya yang hebat sebab dia dengar Imran itu belajar di luar negara
dahulu. Orang macam itulah yang hendak dijadikan suami. Bukannya macam
lelaki-lelaki yang tak lulus SPM macam dia ni. Yang kerjanya menghabiskan beras
di rumah.
“Jangan isi
penuh-penuh sangat Mila, isi separuh aje tanah tu. Polibeg ni besar, tak cukup
tanah pulak nanti kalau banyak sangat
isinya.” Mak Wan tegur Mila yang mengisi tanah ke dalam polibeg yang gayanya
macam sumbat kekabu dalam sarung untuk dibuat bantal.
Letih Mak Wan dengan
Mila ni. Semua yang dia buat serba tak kena. Semuanya harus ditegur dan diajar.
Dah macam mengajar budak tadika pun ada Mak Wan rasa.
“Dahlah Mila, pergi
basuh tangan. Mila minta Mak Awa buatkan Imran air teh ‘o’. Kesian Mak Wan
tengok, tekun je dia bekerja dari
tadi.” Cukuplah dua jam dia menjadi ‘pengajar’ Mila pagi ini.
Siap cuci tangan dia
capai sebuah muk. Mak Awa tak kelihatan di dapur. Biarlah Mila yang bancuhkan
‘Abang Im’ air. Mana tahu berkat air tangannya, Abang Imran akan melekat
hatinya kepada dia. kan?

best nak lagi.
ReplyDeleteHehe... nanti saya pos lagi ya... terima kasih Baby Mio...
DeletePerghhh... marathon saya baca. Erm... tahniah buat penulis. Permulaan yang menarik, makin lama makin menarik. Tak perlu sweet overdosed... masih seronok untuk dibaca. Gaya bahasa dan penulisan yang santai dan senang difahami menjadikan ianya lebih menarik lagi... teruskan... sambung ya...
ReplyDeleteTerima kasih sudi baca secara marathon Miss Anonymous... teruskan membaca ya...
Delete